Tottenham Hotspur telah mengeluarkan larangan serta-merta terhadap penyokong yang membaling cawan ke arah penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Willian menjaringkan dua gol untuk memastikan Chelsea menang 2-0 dalam aksi 'derby' London itu, namun kemenangan itu dicemari herdikan penyokong yang bersifat perkauman terhadap pertahanan, Antonio Rudiger.

Pemain kebangsaan Jerman itu menjadi sasaran selepas Son Heung-min diarah keluar padang berikutan pemain kebangsaan Korea Selatan itu bertindak balas cuba menendang Rudiger.

Spurs menjelaskan siasatan terhadap insiden melibatkan Rudiger itu masih lagi dijalankan di samping mereka mengambil langkah segera selepas mengenal pasti individu yang membaling cawan ke arah Arrizabalaga.

"Kami boleh mengesahkan bahawa kami telah mengenal pasti serta mengeluarkan larangan serta-merta terhadap individu yang bertanggungjawab membaling cawan ke arah penjaga gol Chelsea, Arrizabalaga," kata kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Kami akan mengambil tindakan drastik terhadap mereka yang bertindak sedemikian."

Spurs turut mengumumkan mereka akan menggunakan pembaca bibir untuk menilai rakaman CCTV terhdap insiden melibatkan Rudiger.