Fernando Torres yakin Liverpool sudah bersiap sedia untuk mengecapi lebih banyak kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menyatakan kegembiraannya melihat bekas pasukannya itu menamatkan penantian selama 30 tahun untuk menjuarai liga.

The Reds dinobatkan sebagai juara edisi 2019-20 -- di bawah kendalian Jurgen Klopp menamatkan saingan dengan 99 mata -- dan deretan trofi akan menyusuli kejayaan sulung mereka sejak 1990 itu.

"Saya sangat gembira Liverpool kerana berjaya memenangi EPL dan mereka sememangnya berhak," katanya kepada talkSPORT.

"Saya sangat gembira buat penyokong; Saya tahu betapa pentingnya mereka memenangi EPL.

"Musim sebelumnya, mereka telah memenangi UCL dan jelas ia merupakan pencapaian besar, tetapi apabila anda mewakili Liverpool dan memahami keadaan di sekeliling, maka anda akan tahu betapa pentingnya EPL buat mereka.

"Setelah 30 tahun mereka berusaha, mereka akhirnya melakukannya dengan cemerlang. Saya yakin dengan skuad yang mereka miliki dan mereka akan memenangi lebih banyak lagi gelaran liga pada tahun-tahun berikutnya."


Wakil wilayah Merseyside itu memulakan musim baru dengan kemenangan 4-3 ke atas Leeds United di laman sendiri sementara satu lagi bekas kelab Torres, Chelsea, turut memulakan kempen dengan langkah kanan menerusi kejayaan 3-1 ke atas Brighton & Hove Albion.

Torres seronok melihat perkembangan The Blues di bawah bimbingan Frank Lampard, walaupun walaupun masa depan mereka nampak cerah, dia berpendapat pencapaian menjulang trofi pada musim ini boleh membuktikan keupayaan mereka.

"Mereka membina pasukan yang hebat, bukan hanya untuk musim ini malah demi masa depan," kata bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Mereka sedang membentuk sebuah skuad yang sangat menarik tetapi mereka masih muda, dan anda boleh melihat Frank berkemampuan untuk menguruskan barisan muda seperti yang pernah dilakukannya musim lalu dengan cara yang cemerlang.

"Mereka akan semakin dekat tetapi saya tidak pasti sama ada mereka boleh bersaing dengan Liverpool dan Man City. Mudah-mudahan mereka boleh bersaing untuk gelaran EPL sehingga pada saat-saat akhir.

"Saya fikir Liverpool akan lebih mantap daripada Man City mahu pun Chelsea.

"Dalam dua atau tiga tahun akan datang, EPL akan menjadi liga terulung di dunia. Bintang-bintang masa depan akan berhijrah ke sana. Ia adalah saat yang menggembirakan."




Torres, yang akan tampil dalam dokumentari Amazon yang menceritakan kehidupan dan kariernya, juga menjelaskan tentang keputusan kontroversinya meninggalkan Liverpool untuk menyertai Chelsea pada Januari 2011.

"Kemuncak karier saya adalah ketika di Liverpool," katanya. "Saya tiba di sebuah bandar baru dan ketika itu saya tidak boleh berbahasa Inggeris, tetapi semua orang di bandar dan kelab tersebut membuatkan saya gembira. Ia tempoh yang membahagiakan.

"Hubungan di antara peminat dan pemain di Atletico juga serupa; peminat Liverpool istimewa dan hubungan antara mereka sangat erat.

"Ketika saya meninggalkan Atletico, pasukan yang bertakhta hati saya, sasaran kami ialah memenangi piala.

"Saya sangat gembira di Liverpool tetapi ketika itu, kelab itu akan dijual dan ia adalah detik yang sukar; mereka menjual semua pemain utama dan mula membawa masuk pemain muda.

"Ia memerlukan tempoh enam atau tujuh tahun lagi untuk mencipta sebuah pasukan yang mampu mencabar tetapi saya kesuntukan masa.

"Saya perlu mencari jalan lalu saya menyertai Chelsea. Saya rasa ketika itu ia adalah sebuah kelab yang mampu menawarkan lebih banyak trofi buat saya."