Lucas Torreira kini terpaksa menggunakan tongkat dan akan dipantau dalam tempoh beberapa hari selepas disahkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Pemain tengah Uruguay, Torreira, mengalami kecederaan dalam babak pertama susulan terjahan kasar James Bolton tatkala The Gunners menundukkan Portsmouth 2-0 dalam pusingan kelima Piala FA di Fratton Park, awal pagi tadi.

Torreira terpaksa diusung keluar dan pengendali Arsenal, Arteta, memberikan maklumat tentang situasi itu selepas tamat perlawanan.

"Torreira kini menggunakan tongkat. Dia akan dipantau selama beberapa hari, kemudian kami akan tahu perkembangannya," katanya.

Sokratis Papastathopoulos dan Eddie Nketiah meledakkan gol dalam setiap babak bagi membantu The Gunners melepasi separuh masa pertama yang begitu perlahan dan mara ke suku akhir.

Nketiah merupakan salah seorang daripada pemain muda yang diberikan peluang oleh Arteta yang jelas gembira dengan barisan pemain berbakat dimiliki Arsenal.

"Saya sangat teruja dengan barisan muda yang berbakat," tambahnya.

"Saya menikmati setiap kerja dengan pemain. Mereka berhak meraih peluang. Memang berisiko tetapi ia berbaloi."

Arteta turut memuji Reiss Nelson yang dilihat menjadi perancang buat kedua-dua gol Arsenal.

"Kami memiliki kepantasan dalam beberapa pemain di depan. Nelson merupakan pemain istimewa dan mampu mengatasi lawan dalam situasi satu lawan satu," tambah bekas pembantu jurulatih Manchester City itu.

"Dia diketepikan buat sementara tetapi kini kembali dan membuktikan kemampuannya."