Tony Adams puji kelibat David Luiz

Oleh Fadzrie Hazis 19 Julai 2020 319
Tony Adams puji kelibat David Luiz
Bekas kapten Arsenal, Tony Adams yang sebelum ini kerap mengkritik David Luiz, tampil menghembur pujian buat pemain pertahanan Brazil itu.

Ia selepas Luiz bangkit daripada prestasi hambar sebelum ini, dengan menjelmakan aksi terpuji ketika Arsenal menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA pada Ahad.

“Saya percaya ramai pemerhati termasuk saya sendiri kerap mengkritik Luiz sebelum ini, tetapi aksi yang dipamerkannya berdepan City adalah luar biasa.

“Saya sendiri berdepan situasi hampir sama ketika bersama Arsenal dulu apabila beraksi hambar dalam satu perlawanan berdepan Manchester United.

“Peminat Arsenal berang dengan saya dan selepas itu, saya berazam memberikan aksi lebih baik di atas padang.

“Saya tidak pasti sama ada Luiz memberi tindak balas yang sama macam saya dulu, mungkin ya tetapi dia memang mempamerkan aksi yang cukup baik malam ini [pagi Ahad],” kata Adams yang menjadi tetamu bersama David James ketika siaran langsung separuh akhir Piala FA Manchester City-Arsenal yang di saluran CH814 Astro Supersport.



Dalam pada itu Adams berasa Arsenal melakukan kesilapan apabila melepskan khidmat 16 peninjau bakat berpengalaman.

Bagi Adams, Arsenal memerlukan proses pengambilan pemain yang berkesan di peringkat akademi dan skuad utama yang sesuai dengan statusnya sebagai antara kelab elit di Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya tidak setuju dengan tindakan melepskan kelibat ramai penunjau bakat serta penggunaan ramai ejen dalam proses mengrekrut pemain.

“Pembentukan sebuh pasukan ampuh memerlukan kerjasama erat antara pengurus dan pengarah sukan kelab [Raul Sanllehi].

“Ketika ini saya berasa Mikel Arteta dan tenaga kejurulatihan sudah melakukan tugas baik dengan kualiti pemain yang mereka ada.

“Tetapi saya sangsi dengan kredibiliti pengarah sukan, apakah pengalamannya dalam membentuk sebuah kelab Eropah?

“Memang benar kita wajar memberikannya peluang tetapi saya kecewa dengan tindakan menamatkan khidmat ketua peninjau bakat kelab, Steve Rowley yang mempunyai pengalaman 40 tahun,” kata Adams.

Bekas pertahanan England itu juga berasa skuad Arsenal kini mirip barisan Arsenal ketika zamannya dulu pada awal 90an.

Ketika itu, mereka berupaya memenangi pertandingan kalah mati seperti Piala FA dan Liga, tetapi sukar memberi cabaran kuat dalam saingan EPL.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen