ARSENAL 2 CRYSTAL PALACE 2

Unai Emery berkata Granit Xhaka salah untuk bertindak balas ketika diherdik penyokong Arsenal selepas seri 2-2 dengan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Kapten The Gunners itu kelihatan menekup telinganya ketika penyokong meraikan pemain skuad kebangsaan Switzerland itu digantikan Bukayo Saka sebelum membuka jersi dan terus menuju ke bilik persalinan.

Arsenal terlebih dahulu gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan menerusi Sokratis Papastathopoulos dan David Luiz sebelum Luka Milivojevic dan Jordan Ayew memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Bercakap mengenai reaksi Xhaka itu, Emery memberitahu BBC: "Dia salah tetapi kami akan membincangkan situasi tersebut di dalam nanti. Saya mahu mendengar daripada Xhaka, namun dia tidak seharusnya melakukan sedemikian.

"Kami di sini kerana penyokong. Kami berusaha dan bekerja demi mereka dan perlu menghormati mereka pada setiap masa."

Ditanya jika Xhaka akan kekal sebagai kapten, Emery berkata, "Sekarang bukan masa untuk membincangkan perkara itu."

Sokratis menyangka dia berjaya memperoleh tiga mata untuk The Gunners ketika perlawanan berbaki enam minit tetapi ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan bahawa Calum Chambers telah melakukan kekasaran ketika mereka melancarkan serangan.

Emery tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan berasakan pasukannya tidak dilayani dengan adil.

"Bagi saya, tiada kekeliruan, ia bukan keputusan yang betul," katanya. "Kami berhak menang, kami mengekalkan rentak permainan yang sama selepas mereka menyamakan kedudukan. Kami menjaringkan gol tetapi ia tidak dikira.

"Penyokong telah banyak membantu kami ketika pasukan berusaha mendapatkan gol ketiga tetapi kami gagal memastikan kemenangan."