Jose Mourinho khuatir Manchester United mungkin kehilangan khidmat Antonio Valencia, Michael Carrick dan Marouane Fellaini sepanjang perayaan Krismas ini.

Kunjungan ke Leicester City awal pagi esok adalah aksi pertama Red Devils untuk menempuh empat perlawanan dalam tempoh 10 hari, dengan Burnley dan Southampton akan berkunjung ke Old Trafford sejurus hari Krismas sebelum mereka membuat perjalanan singkat ke Everton, pada hari tahun baru.

Carrick hampir pasti terlepas kesemua perlawanan itu selepas dilanda masalah jantung sementara Valencia (hamstring) dan Fellaini (lutut) sekurang-kurangnya akan direhatkan bertemu Leicester, dengan Eric Bailly sudah pasti diketepikan.

"Valencia tercedera dan seperti yang anda tahu, Eric Bailly sedang menjalani pembedahan," kata Mourinho.

"Fellaini tidak ada, saya tidak tahu (jika dia akan beraksi Krismas nanti) Michael Carrick sudah pasti tidak, setidak-tidaknya bukan untuk tempoh Krismas."

Perlawanan di Stadium King Power bakal menjadi aksi pertama United sejak tersingkir daripada Piala Liga Perdana Inggeris (EFL) oleh Bristol City, Khamis lalu.

Walaupun mengalami kekalahan mengejut, Mourinho menegaskan ia tidak mempengaruhi keputusannya untuk melepaskan pemain tertentu.

"Tidak, saya tidak membuat keputusan berdasarkan suatu perlawanan, satu perasaan atau satu malam," katanya.

"Pertama sekali, anda selalu suka bercakap tentang pasukan yang kalah, mungkin juga kita harus lebih banyak bercakap tentang pemenang.

"Seperti yang saya katakan selepas perlawanan, mereka (Bristol) bernasib baik tetapi mereka berjuang hebat dan itu adalah salah satu perkara yang indah dalam bola sepak apabila pasukan dari bahagian bawah membunuh pasukan gergasi.

"Saya boleh menjadi kritikal terhadap pemain saya, saya boleh, tetapi saya fikir mereka telah berusaha untuk menang, mereka tewas ketika cuba menang, United kalah kerana mereka fikir mereka adalah satu-satunya pasukan yang akan menang," kata pengurus Portugis itu lagi.