Pertahanan Arsenal, Kieran Tierney, percaya mereka layak berada dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL) berikutan kemenangan Piala Perisai Komuniti ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Pierre-Emerick Aubameyang memuktamadkan penentuan sepakan penalti untuk juara bertahan Piala FA, itu menundukkan jaguh EPL, Liverpool, 5-4 di Wembley.

Gol pertama Takumi Minamino untuk The Reds membatalkan jaringan pembukaan Aubameyang pada minit ke-12 dalam pertemuan di London itu di mana Arsenal terus mempamerkan perubahan di bawah kendalian Mikel Arteta.

The Gunners hanya mampu menamatkan kempen di tangga kelapan musim lalu untuk meraih tiket Liga Europa bagi musim keempat berturut-turut, tetapi Tierney menegaskan keyakinan di Stadium Emirates semakin meningkat.



"Semangat merupakan salah satu perkara utama di bilik persalinan. Asas kepercayaan dan semangat ini kami sudah ada, kami sedang membangunkannya," katanya.

"Kami hanya ingin teruskannya dan berkembang dengan cara ini.

"Pemikiran itu diterapkan oleh pengurus dan kakitangan. Ia diteruskan sejak usaha kami musim lalu dan terus memperbaikinya. Sebaik kami kembali minggu lalu, kami tetap meneruskan rentak yang sama. Kami tidak bercuti lama dan kempen musim lalu masih lagi segar.

"Sebaik melangkah masuk ke perlawanan seperti ini, kepercayaan dan semangat kami semakin meningkat. Mikel telah menerapkannya sejak hari pertama lagi, barisan pertahanan yang tersusun dan gaya pergerakan kami. Itulah yang kami lakukan setiap hari dalam sesi latihan, kami akan menonton semula rakamannya. Ini bukan sekadar nasib dan bukan juga satu kebetulan. Ia adalah hasil kerja keras.

"Peminat dan kelab layak berada dalam UCL. Mereka layak meraih tangga empat teratas dan kami ingin melakukannya dengan sebaik mungkin dan berjuang dalam setiap perlawanan yang kami hadapi musim ini."

Arsenal akan membuka kempen EPL 2020-21 mereka di laman kelab yang dinaikkan pangkat, Fulham, pada 12 September ini.