Penyerang England, Harry Kane, meluahkan keyakinan yang dia mampu mecahkan rekod 53 jaringan milik Wayne Rooney bersama pasukan kebangsaan itu.

Rooney mengumumkan persaraan peringkat antarabangsa dalam perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Dia gagal melebarkan rekod jaringannya dalam kemenangan 3-0 di Wembley itu, namun mahu Kane memecahkan rekod berkenaan, satu hari nanti.

Kane setakat ini menjaringkan 19 gol dalam 34 penampilannya bersama England dan diberi penghormatan selaku kapten pasukan.

Bintang Tottenham itu enggan memikirkan untuk memecahkan rekod berkenaan walaupun berkeyakinan untuk melakukannya.

"Ia tidak mustahil, namun ia masih lagi jauh," katanya kepada wartawan dalam sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Croatia dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran sejauh itu kerana pelbagai perkara boleh terjadi.

"Kami akan melihatnya dalam beberapa tahun mendatang.

"Saya berharap untuk kekal cergas dan dipilih oleh pengurus pasukan.

"Ia mampu dilakukan, namun saya tidak mahu memikirkannya lagi," tambahnya.

Kunjungan ke Croatia merupakan perlawanan terpenting bagi saingan Kumpulan 4, Liga A dengan pemenang akan menempah slot ke pusingan akhir selaku pendahulu kumpulan.

Jika tewas, England akan tersingikir ke Liga B berdasarkan perbezaan jaringan.