Liverpool tidak mampu untuk menurunkan intensiti permainan dalam usaha untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, menurut pemain tengah, Adam Lallana.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kembali mendahului saingan EPL dengan kelebihan 13 mata, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan hasil kemenangan 1-0 ke atas Wolves di Anfield, Ahad lalu.

Sadio Mane menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-42 sebelum Wolves melakukan deretan percubaan dalam separuh masa kedua -- termasuk jaringan Jonny yang dibatalkan VAR kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Lallana mengakui Liverpool bernasib baik apabila merakamkan kemenangan ke-10 berturut-turut dan menggesa rakan sepasukannya supaya tidak leka.

"Ia merupakan tiga mata yang penting, tiga mata yang berharga," katanya kepada laman web rasmi Liverpool.

"Kami akan melihat semula perlawanan dan cuba melakukan dengan lebih baik. Kami boleh memperbaiki secara mental dan fizikal. Saya berasakan kami menghadirkan permainan yang lebih mudah buat kami, mengawal bola dengan lebih baik.

"Buat masa ini, kami tidak boleh menurunkan tahap serta intensiti permainan. Kami bakal menghadapi beberapa lagi perlawanan yang penting minggu depan -- Sheffield United yang memiliki musim yang cemerlang, kemudian aksi 'derby' dalam saingan Piala FA.

"Ia amat penting buat kami pulih selepas tamat perlawanan kerana pasukan kini dihimpit masalah kecederaan dan ia amat penting buat setiap pemain berada di tahap terbaik. Kami mahu mengekalkan prestasi ini sehingga Tahun Baru dan mengekalkan Anfield sebagai kubu keramat pasukan."


Editor: Ammar Hakim