Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, percaya kini adalah detik terbaik untuk The Blues membuat keputusan mengenai masa depan Eden Hazard di kelab itu.

Dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, pemain sayap Belgium itu menolak untuk mengesahkan sama ada dia akan kekal lama di Stamford Bridge dan memperbaharui kontrak yang bakal tamat tahun depan atau tidak.

Dia menegaskan hanya mahu fokus dia atas padang selepas menyumbat dua gol ketika Chelsea menundukkan Watford 2-1, Rabu lalu, dan pemain berusia 27 tahun itu kini telah menghasilkan empat jaringan dalam empat aksi terakhir.

Namun, Sarri berharap Chelsea akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

"Saya tidak tahu tetapi sudah tiba masa untuk membuat keputusan," kata Sarri.

"Saya adalah jurulatih dan bukan presiden kelab. Saya tidak mengendalikan urusan pembelian kerana saya jurulatih. Saya hanya mahu bercakap dengannya mengenai posisi di atas padang.

"Saya rasa kami harus menyelesaikan masalah ini."

Hazard menyinar musim ini di bahagian penyerang tengah tetapi di sebalik meraih prestasi hebat, bekas pemain Lille itu menegaskan dia lebih gemar bermain di bahagian sayap.

Sarri berdepan pelbagai soalan daripada media mengenai keputusan meletakkan Hazard di bahagian tengah tetapi tidak melihat sebarang masalah untuk Hazard beraksi di kedua-dua posisi.

"Hazard mampu beraksi selaku pemain sayap dan turut berkebolehan bermain di tengah," ujar Sarri.

"Saya sangat gembira Hazard di posisi itu kerana dia lebih terbuka untuk menjaringkan gol. Dia juga sentiasa datang dan bermain bersama rakan sepasukan. Saya gembira untuknya tetapi dia tetap boleh beraksi di bahagian sayap.

"Hazard adalah pemain hebat. Saya rasa ini adalah salah satu detik penting dalam sejarah Chelsea dan saya yakin Hazard dapat menghasilkan lebih banyak gol.

"Saya juga tidak melihat Hazard berdepan masalah dengan posisi ketika ini. Dia beraksi selaku pemain bukan nombor sembilan dan menjaringkan tiga gol serta mencipta tiga bantuan jaringan. Jadi, saya tidak melihat sebarang masalah."