Besiktas menafikan telah menerima tawaran daripada Everton yang memburu penyerang, Cenk Tosun.

The Toffees dilaporkan telah bersetuju dengan perjanjian bernilai £25 juta (RM136.5j) untuk menandatangani pemain antarabangsa Turki itu dengan kontrak empat setengah tahun.

Tosun menjaringkan gol untuk membantu Besiktas mara ke suku akhir Piala Turki dengan kemenangan 4-1 ke atas Osmanlispor, awal pagi tadi.

Selepas perlawanan itu, Besiktas mendakwa berita pemain berusia 26 tahun itu sedang menuju ke Merseyside adalah palsu.

"Tidak ada tawaran untuk Cenk Tosun," kata jurucakap jurulatih Besiktas, Metin Albayrak.

"Kami hanya mengetahui mengenainya daripada akhbar dan jika tawaran datang kepada kami, kami akan membuat keputusan."

Setelah hanya menandatangani Domagoj Vida dari Dynamo Kiev dan khabar angin tentang khidmat Arda Turan berterusan, Besiktas berharap untuk membina momentum mengagumkan pada pertengahan musim nanti kerana mereka bakal bersaing di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

Dalam Super Lig, mereka terus menghambat pendahulu, Istanbul Basaksehir, yang menyaksikan Tosun menjadi penyumbang penting, dengan memimpin pasukan dengan lapan gol.

Jurulatih Besiktas, Senol Gunes, menegaskan tiada rundingan berkenaan penyerang handalan pasukannya itu kerana dia berharap dapat mengekalkannya.

"Tiada tawaran rasmi mengenai perpindahan Cenk Tosun," kata Gunes. "Saya gembira dengan pasukan saya dan saya tidak mahu pemain saya pergi."