Kevin De Bruyne perlu berjuang untuk merebut kesebelasan utama Manchester City, demikian tegas Pep Guardiola.

Pemain Terbaik PFA itu kembali daripada kecederaan hamstring apabila dimasukkan sebagai pengganti dalam babak kedua ketika The Cityzens menewaskan Everton 3-1 pertengahan minggu ini -- keputusan yang melebarkan kelebihan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 10 mata.

Pasukan kendalian Guardiola itu memenangi kelima-lima perlawanan tanpa kelibat De Bruyne dengan merakamkan 15 gol dan hanya sekali gawang mereka ditembusi, malah mereka juga akan bertandang ke Cheltenham Town dan Swansea City dalam Piala FA.

Gandingan ketika ini telah memastikan mereka merekodkan 17 kemenangan yang merupakan satu pencapaian baru dalam EPL.

Bernardo Silva unggul di bahagian tengah sebelah kanan, mengulangi keberkesanannya sepanjang ketiadaan De Bruyne yang terlepas sebahagian besar kempen City menjulang tiga gelaran pada 2018-19, dan faktor itu sekali lagi mengundang perhatian pengurus dari Sepanyol tersebut tatkala mereka bersiap untuk Arsenal, tengah malam ini.

"Saya tidak dapat melupakan perlawanan yang luar biasa ketika Kevin diturunkan," kata Guardiola.

"Kami tidak mampu melakukan perkara luar biasa ini tanpanya.

"Tapi tentu saja, ini adalah satu cabaran baginya. Dia harus beraksi dengan baik. Itulah yang kami perlukan. Itulah yang saya mahukan dan itulah yang dia sendiri idamkan.

"Persaingan sesuatu yang sangat sihat, dalam jadual padat hari ini -- sepanjang 11 bulan, kami beraksi setiap tiga hari. Manusia biasa untuk meneruskan keadaan mental dan fizikal terbaik sepanjang masa."





Musim ini, juara 2018 dan 2019 itu telah memenangi 15 daripada 21 perlawanan ketika De Bruyne diletakkan dalam kesebelasan utama mereka selain mengalami empat seri dan dua kekalahan.

Namun, mereka memperoleh angka peratusan kemenangan yang lebih mengagumkan iaitu daripada 71.4 meningkat kepada 87.5 peratus -- 14 kemenangan, dua kali seri dan tanpa kekalahan -- ketika dia terpaksa tersisih atau dikeluarkan selepas waktu berehat.

Guardiola percaya menonton aksi dari tepi padang dan menyaksikan persembahan yang menarik akan membakar semangat De Bruyne, yang mencipta 15 bantuan jaringan setakat ini sambil hanya Bruno Fernandes (90) dan Jack Grealish (79) mampu mengatasi 74 peluang terhidang yang diciptanya.

"Ia dorongan yang sangat bagus apabila pemain yang tercedera atau diketepikan atas keputusan saya melihat rakan sepasukannya beraksi bagus dan menang. Itulah cara terbaik untuk menjadi pesaing," katanya lagi.

"Kami tidak mampu menjadi pasukan yang berdaya saing jika semua pemain menganggap, 'Tidak kisah apa yang berlaku sekalipun, saya akan tetap diturunkan.'

"Mereka harus beraksi dengan baik untuk terus berada dalam pasukan kerana mereka sedar apabila tidak bermain dengan baik, mereka tidak memiliki kesempatan untuk dikekalkan."