Bekas pengendali Manchester United, David Moyes, percaya tiada siapa yang mampu melakukan lebih baik daripada Alex Ferguson selepas beliau bersara.

Pengendali berusia 54 tahun itu telah dipilih sebagai pengganti Ferguson selepas rakan senegaranya itu mengambil keputusan untuk bersara selepas membantu United menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20 pada musim 2012-13.

Kurang daripada setahun, Moyes terpaksa meninggalkan pasukan apabila United menduduki tangga ketujuh dalam saingan liga dan tidak berjaya meraih sebarang trofi.

Jose Mourinho, yang memenangi Piala EFL dan Liga Europa (UEL) pada musim pertamanya, baru-baru ini menyatakan kelab telah gagal untuk berkembang ketika dikendalikan oleh Moyes dan Louis van Gaal sebelum diambil alih olehnya pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, Moyes berkeras menyatakan mana-mana pengurus akan menghadapi kesukaran di United dan kegagalan untuk mendapatkan Gareth Bale dan Cesc Fabregas merupakan faktor kegagalannya di Old Trafford.

"Mourinho memiliki pendapatnya sendiri tetapi untuk meneruskan apa yang telah ditinggalkan oleh Ferguson adalah tugas yang sukar.

"Ketika itu, kami berusaha untuk mendapatkan Bale dan Fabregas. Mereka merupakan sasaran utama kami tetapi United gagal membawa mereka ke Old Trafford.

"Saya mengakui ia merupakan satu tugas yang berat. Pengurus kepada Mancester United dan anda perlu meraih kemenangan dalam setiap perlawanan. Tiada pengurus yang mampu melakukannya dengan masa yang diberikan kepada saya selepas Ferguson bersara," katanya.

Moyes terus bergelut selepas dipecat oleh United pada 2014. Beliau gagal mencari sentuhannya ketika mengendalikan Real Sociedad sebelum kembali ke England bersama Sunderland yang tersingkir daripada saingan EPL.