Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Brighton and Hove Albion, Paul Barber, berkata tiada penyelesaian yang sempurna untuk menamatkan Liga Perdana Inggeris dan saingan musim depan tidak boleh dibatalkan.

Saingan bola sepak profesional di Great Britain ditangguhkan susulan wabak coronavirus sambil tiada perancangan ditetapkan untuk menamatkan kempen 2019-20.

Tatkala semua kelab sedang berbincang mengenainya, Barber mendedahkan semua pilihan sedang dikenal pasti dan tiada yang memberikan kepuasan buat semua pihak.

"Kami semua memiliki agenda tersendiri apabila berdepan situasi masing-masing," katanya.

"Liverpool mahu menamatkan saingan kerana mereka berpeluang bergelar juara, jadi ia difahami. Pasukan lain berpeluang merebut slot Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa sambil kami berjuang dalam zon penyingkiran.

"Saya bertanya, 'adakah boleh jika saingan ditamatkan dan Liverpool bergelar juara, tiada penyingkiran dan dua pasukan teratas daripada Liga Kejuaraan dinaikkan? Setiap idea dalam tempoh krisis adalah jalan terbaik'.

"Tidak kira ia adil atau tidak, ia menimbulkan perdebatan. Masalah yang ada adalah apa sahaja berlaku, saingan musim ini tidak akan sempurna.

"Sama ada kami menamatkan saingan secara tertutup, ia juga tidak sempurna kerana peminat mahu ke stadium atau kami tamatkan musim dengan lewat dan ia mendatangkan isu lain. Pilihan lain, kami tidak tamatkannya tetapi ia harus hadir dengan beberapa formula untuk melengkapkannya.

"Keutamaan kami kekal untuk cuba tamatkan musim apabila selamat tetapi 500 atau 600 nyawa terkorban sehari dan tidak bagus untuk menyambung aksi bola sepak."