Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, menegaskan Alexis Sanchez tidak diberikan layanan istimewa oleh kelab itu meskipun pemain itu mempamer aksi mantap musim ini.

Pemain kebangsaan Chile itu telah menyumbang enam gol daripada 12 penampilan dalam semua kejohanan musim ini di samping menjadi faktor utama dalam permulaan baik The Gunners.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang Wenger daripada mengeluarkan pemain itu di hujung perlawanan sebanyak tiga kali, dan pengendali kelahiran Perancis itu menekankan bahawa dia berkuasa membuat keputusan sedemikian meskipun tidak diterima baik Sanchez.

"Apabila saya memutuskan untuk menukarkan dia, saya akan lakukannya," Wenger memberitahu The Guardian.

"Tiada layanan istimewa. Dia miliki karektor tersendiri tetapi kami tidak memberikan layanan berbeza terhadapnya sepertimana pemain lain.

"Mereka semua sedar kepentingan membuat penukaran pemain selepas tamat perlawanan, tetapi ketika sedang beraksi di atas padang, mereka mahu kekal."

Musim ini, Sanchez bertindak sebagai penyerang tunggal pasukan di samping Theo Walcott dan Alex Iwobi meskipun sebelum ini Wenger menurunkannya selaku pemain sayap.

"Saya nampak dia sesuai bermain di posisi itu kerana dia berani membawa bola dan sering mengancam kubu lawan.

"Dia memiliki teknik untuk mencipta peluang tetapi kadan-kala dia terlalu gemar memegang bola, kami sudah memiliki ramai perancang tengah."