Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, tidak pasti sama ada pasukannya akan menamatkan tempoh perpindahan pemain dengan kemasukan baru menjelang saingan musim baru Liga Perdana Inggeris.

Selepas melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara Eropah susulan tempat ketiga liga yang diraih pada musim lalu, Spurs menyaksikan pasukan tangga keempat, Liverpool, berbelanja besar tetapi mereka masih belum melengkapkan sebarang perpindahan.

Jendela perpindahan suram yang dilalui Spurs agak memeranjatkan memandangkan sebelum ini, Pochettino menggesa pihak kelab agar tampil berani dalam mengambil risiko untuk mengelakkan ketinggalan dengan pesaing lain di England.

Bintang Real Madrid, Gareth Bale, Jack Grealish (Aston Villa) serta Anthony Martial (Manchester United) merupakan antara pemain yang dikaitkan dengan Spurs, namun Pochettino tidak mampu menjangkakan nama yang bakal menyertai mereka.

"Pada musim lalu, saya memberitahu anda satu jumlah tetapi saya tidak tahu pada kali ini," katanya.

"Saya tidak pasti sama ada kami akan mendapatkan pemain baru atau tidak. Kami sedang mengusahakannya tetapi saya tidak boleh mengesahkan sama ada kami akan menandatangani seorang, dua atau tiga pemain baru, atau tiada langsung."

Bekas pertahanan Argentina itu menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada Mei lalu dan dia menegaskan akan membiarkan orang ramai memberikan pandangan masing-masing terhadap kenyataannya sebelum ini.

"Saya rasa saya sedang bekerja dan fokus untuk menyempurnakan tugas saya. Saya cuba untuk menyiapkan pasukan.

"Itu fokus sebenar dan saya mencuba."

Spurs bakal memulakan kempen baru Liga Perdana Inggeris dengan aksi menentang Newcastle United pada 11 Ogos nanti.