Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menegaskan pasukannya tidak akan memberi fokus terhadap bintang West Ham, Dimitri Payet, dalam pertemuan pada Sabtu.

West Ham bakal bertandang ke White Hart Lane dalam misi menjarakkan pasukan itu daripada zon penyingkiran dan bakal mempertaruhkan Payet selaku senjata utama memburu tiga mata.

Namun, Pochettino tidak akan menerapkan corak bertahan dengan kawalan ketat bagi mengekang Payet kerana percaya kemenangan hanya mampu diraih dengan kerjasama sebagai satu pasukan.

"Saya tidak pernah terlintas untuk memberi layanan istimewa terhadap seorang pemain sahaja," jelas Pochettino.

"Kami telah berhadapan pelbagai pemain bertaraf dunia dalam tempoh dua tahun setengah ini. Jadi, kamu boleh lihat pentingnya untuk tidak terlalu memberi fokus terhadap pemain seperti ini kerana mereka sering saja menjumpai cara untuk mengubah perlawanan.

"Kami perlu fokus dengan cara kami bermain, itu yang paling penting."