Tiada aksi cemerlang mudahkan Spurs hantar Bale pulang ke Real -- Berbatov

Oleh Ammar Hakim 20 Januari 2021 2105
Tiada aksi cemerlang mudahkan Spurs hantar Bale pulang ke Real -- Berbatov
Tottenham memiliki keputusan mudah untuk menghantar Gareth Bale pulang ke Real Madrid pada penghujung musim jika penyerang itu tidak memperbaiki prestasinya, menurut Dimitar Berbatov.

Bale kembali ke Spurs secara pinjaman sepanjang musim pada September, tetapi gagal untuk menampilkan aksi terbaik setakat ini.

Pemain berusia 31 tahun itu sekadar turun sekali dalam kesebelasan utama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan masih belum bermain selama 90 minit dalam mana-mana pertandingan selepas terpalit dengan isu kecederaan, kecergasan dan prestasi.

Selepas terdapat laporan mencadangkan Spurs sudah mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh pinjamannya bagi musim kedua, pengurus pasukan, Jose Mourinho, menegaskan minggu lalu bahawa tiada perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan.

Tetapi bekas bintang Spurs, Berbatov, percaya keputusan yang jelas bakal dilakukan jika bintang Wales itu tidak menghasilkan sesuatu yang berkualiti bagi separuh kedua musim ini.

"Saya menjangkakan banyak daripada Bale yang kembali ke Spurs, menjadi pelengkap kepada trio yang dibarisi Son Heung-min dan Harry Kane, yang mampu menjadi pesaing kepada Liverpool.

"Buat masa ini, ia semestinya tidak berhasil.

"Masih terdapat perlawanan sehingga penghujung musim, cukup untuk dia membuktikannya, mereka juga akan beraksi dalam aksi final Piala EFL.

"Jadi diharap dia akan kembali ke tahap terbaik dan mula bermain. Jika tidak, ia akan menjadi keputusan yang mudah, dia boleh kembali ke Real."
 
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen