Bekas pertahanan Juventus, Lilian Thuram, percaya sukar untuk melihat Pep Guardiola meninggalkan Manchester City selepas dia dikaitkan dengan juara Serie A itu.

Guardiola telah dikaitkan dengna perpindahan ke Turin selepas memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama City.

Ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri, turut dilaporkan menjadi sasaran Juve, yang mengambil keputusan untuk memecat Massimiliano Allegri bulan lalu.

Thuram, yang menjuarai dua gelaran Serie A dalam lima musim bersama Juve, berasakan sukar untuk melihat Guardiola meninggalkan City.

"Guardiola adalah seorang pengurus yang berkualiti tetapi saya tidak berasakan dia akan meninggalkan City," kata Thuram.

"Juventus sentiasa dibimbing pengendali yang terbaik dan saya berasakan bola sepak merupakan sesuatu yang indah kerana terdapat banyak cara untuk bermain.

"Anda boleh menang dengan corak permainan Guardiola atau Jurgen Klopp (pengendali Liverpool). Mereka memiliki corak yang berbeza.

"Juve memenangi banyak gelaran Serie A hasil daripada kebijaksanaan pengurus pasukan. Saya pasti pengurus seterusnya akan menghadirkan kejayaan buat pasukan," katanya.

Juve telah memenangi Scudetto yang kelapan berturut-turut tetapi gagal mencipta kejayaan di pentas Eropah sejak 1996.