The Citizens tiada hasrat pancing Saul 

Oleh Staff Writer 12 Disember 2018 270
The Citizens tiada hasrat pancing Saul 
Manchester City tidak bersedia mengatasi rekod perpindahan mereka untuk memburu khidmat perancang Atletico Madrid, Saul Niguez, kata pengurus, Pep Guardiola.

Laporan di Sepanyol mengaitkan City bersedia untuk memenuhi klausa pelepasan yang ditetapkan Atleti ke atas Saul yang bernilai €150 juta (RM710.7j) tatkala mereka sedang mencari pengganti jangka panjang kepada Fernandinho.

Bekas pengurus Barcelona, ​​Guardiola, menyatakan kekagumannya terhadap Saul dalam sidang berita menjelang perlawanan di antara City dan Hoffenheim dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL ), awal pagi esok, namun menegaskan pemain berusia 24 tahun itu mempunyai masa depan yang panjang di Wanda Metropolitano.

"Semalam, Manchester City berminat dengan khidmat 125 pemain, jadi hari ini tambah seorang lagi," katanya berseloroh terhadap khabar angin itu.

"Adakalanya saya terbaca bahawa 'Pep Guardiola berminat dengan pemain ini'. Namun, saya tidak mengenali pemain tersebut.

"(Saul) merupakan seorang pemain hebat tetapi kami tidak berminat dengannya. Dia adalah pemain Atletico Madrid yang akan kekal di sana untuk tempoh yang lama kerana dia adalah seorang pemain yang luar biasa."

Sementara itu, salah seorang anak buahnya mempunyai ciri-ciri yang menonjol untuk membintangi masa depan, iaitu Phil Foden, dan pemain antarabangsa England B-21 berkenaan menandatangani kontrak baru sehingga 2024 bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.  

Foden memeterai kontrak baru dengan City setelah bekas rakan sepasukannya, Jadon Sancho, mula mencipta impak sejak berhijrah ke Borussia Dortmund tahun lalu manakala seorang lagi pemain remaja, Brahim Diaz, dilaporkan menolak tawaran baru kerana ingin berpindah ke Real Madrid.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen