The Blues tidak senang cara Perancis kendali kecederaan Kante 

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2019 240
The Blues tidak senang cara Perancis kendali kecederaan Kante 
N'Golo Kante terlepas peluang untuk mengukuhkan barisan Chelsea bagi menghadapi Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini, dengan Frank Lampard menyatakan kekecewaannya pemain itu tidak kembali lebih awal daripada tugas antarabangsa dengan Perancis.

Kante menderita kecederaan pangkal paha ketika memanaskan badan dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 di antara Perancis dan Iceland tetapi tidak kembali segera ke Chelsea biarpun tersisih untuk membarisi skuad Les Bleus menghadapi Turki, Selasa lalu. 

Malah, pengurus Perancis, Didier Deschamps, sempat berseloroh dengan Lampard bahawa mereka mungkin boleh mempertimbangkan untuk menurunkan penyerang, Olivier Giroud, dengan lebih kerap setelah mendedahkan rakan sejawatannya yang berpangkalan di London itu telah memintanya agar tidak memilih Kante.

Begitupun, Lampard tidak terguris dengan ulasan tersebut, namun tidak gembira dengan cara juara dunia itu menangani situasi kecederaan pemain tengah berkenaan. 

"Sebelum rehat antarabangsa, Didier Deschamps ada membangkitkan tentang Giroud dan ia satu jenaka ringan dan saya menerimanya. Kami semua menghadapi dilema dalam soal pemilihan pemain tetapi Giroud telah diturunkan dalam dua perlawanan," kata pengurus muda itu dalam sidang akhbar.

"Tetapi isu Kante bukan bahan jenaka kerana kami sempat berbincang sebelum rehat antarabangsa yang terakhir. Ini kerana dia tercedera dan tidak dapat menyertai mereka. 

"Ayuh fikirkan apa manfaat yang dia dapat sedangkan dia tidak boleh beraksi. Kami berdua sudah bersetuju mengenai hal itu.

"Dia perlu diketepikan dalam perlawanan pertama selain menjalani ujian kecergasan sehari sebelum perlawanan kedua, jelas sekali dia tidak dapat beraksi. Dia kemudian sekadar menjadi pemerhati, jadi itu bukan satu perbincangan.

"Saya faham apabila seseorang pemain dalam tugasan antarabangsa, mereka adalah pemain negara tetapi jelas sekali dia tidak cergas."

Walaupun pemain tengah itu tersisih dalam kunjungan ke Magpies, Lampard mungkin boleh menyenaraikan semula Matthew Kovacic di bahagian tengah, namun Andreas Christensen (hamstring) dan Antonio Rudiger (pangkal paha) akan terus tersisih. 

"Kovacic mengalami kecederaan ringan di pahanya tetapi telah mula berlatih sejak beberapa hari lalu supaya namanya boleh dipertimbangkan," kata Lampard.

"Andreas Christensen pula mengalami kecederaan hamstring dan akan berehat selama dua minggu. 

"Rudiger pula sedang berlatih dengan pakar fisioterapi dan ia merupakan satu perkembangan positif  buatnya. Dia mengalami kecederaan yang sukar dalam beberapa perlawanan lalu.

"Dia perlu melakukan sedikit kerja kecergasan perlawanan tetapi ia benar-benar satu perkembangan positif buat kami."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen