EVERTON 0 CHELSEA 0

Antonio Conte mempertahankan keputusannya untuk beraksi tanpa penyerang tulen selepas Chelsea sekadar seri 0-0 di Everton, malam tadi.


Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu beraksi tanpa Alvaro Morata yang menjalani penggantungan dan Conte mengulangi taktikal seperti semasa ketiadaan pemain Sepanyol itu baru-baru ini dengan mempertaruhkan Eden Hazard, Pedro dan Willian untuk memimpin jentera serangan.

Pakar penyerang tengah, Michy Batshuayi, sekali lagi ditinggalkan di bangku simpanan sehingga minit ke-71 selepas The Blues buntu untuk menembusi pintu gol lawan -- di sebalik 25 percubaan tepat -- sehingga menafikan tiga mata buat mereka.

"Tiada sebab untuk saya menjelaskan mengapa saya membuat keputusan untuk mengetengahkan Hazard, Willian dan Pedro (di bahagian serang), ini bukan kali pertama," kata Conte.

"Saya perlu membuat keputusan terbaik demi pasukan saya dan hari ini saya membuat keputusan terbaik.

"Ia sangat penting untuk mengekalkan keseimbangan dalam perlawanan ini. Jangan lupa penyerang utama kami, Morata, terpaksa diketepikan dan saya fikir barisan pemain ini sangat penting untuk kami.

"Namun pada masa yang sama, kami bermain dengan pilihan kedua, dengan tiga watak pemain nombor 10 -- Willian, Pedro dan Hazard -- dan kami mencipta banyak peluang.

"Anda perlu lebih klinikal, saya faham jika kami seri tanpa mendominasi permainan kerana tidak mahu mengambil risiko tewas. Inilah bola sepak. Perkara paling penting adalah dengan cara ini dan memaksa pihak lawan untuk bertahan."

Conte menjelaskan keputusan untuk mengetepikan Batshuayi bukanlah kerana hal berkaitan prestasi.

"Jangan lupa Michy diturunkan banyak kali dalam kesebelasan utama ini, kemudian dia mengalami kecederaan. Dia baru sahaja kembali daripada kecederaan," kata bekas pengurus Juventus berkenaan.

"Dia bermain menentang Bournemouth selama 75 minit dan kami berusaha melakukan yang terbaik, ada masanya mencukupi dan kadang-kala kami berdepan situasi seperti ini."

Everton kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan di bawah bimbingan Sam Allardyce, dan bekas bos England itu menganggap kutipan satu mata itu adalah hasil yang memuaskan.

"Kami menghadapi dan memberi ancaman kepada mereka," katanya.

"Saya tidak mengkritik pasukan selepas mereka mencurahkan usaha, komitmen dan teratur untuk mengekang pasukan berbakat seperti itu," ujarnya.