Cesc Fabregas mungkin beralih ke posisi tengah kanan Chelsea untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Watford malam ini, demikian penerangan ketua jurulatih, Antonio Conte.

Juara menanti itu kehilangan Tiemoue Bakayoko akibat masalah pangkal paha dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) dengan Roma, Khamis lalu. sementara N'Golo Kante masih bergelut dengan kecederaan hamstring dan Danny Drinkwater belum membuat penampilan sulungnya (masalah betis).

David Luiz digunakan sebagai pemain tengah ketika mereka seri 3-3 dengan kelab Itali itu dan Conte mengakui perubahan taktikal mungkin diperlukan untuk mereka menghadapi pasukan bimbingan Marco Silva itu.

"Pada masa ini, saya tidak boleh mengatakan apa-apa tentang kesebelasan utama yang akan diturunkan," katanya dalam sidang akhbar. "Kami mempunyai banyak keraguan, saya berharap dapat memulihkan beberapa pemain dalam tempoh 24 jam ini."

Diaju soalan sama ada Fabregas adalah pemain tengah kanan yang layak, dia menjawab: "Ya, itu boleh berlaku."

Tambah Conte: "Saya tidak gembira mengubah peranan pemain saya, setiap pemain mempunyai peranannya sendiri. Tetapi, kadang-kadang anda mempunyai situasi yang memerlukan anda menyesuaikan diri dan anda mesti bersedia."

Pengendali dari Itali itu tidak mahu tergesa-gesa menyenaraikan Drinkwater, namun mempunyai perkembangan positif tentang Kante. Pemain antarabangsa Perancis itu dijangka kembali sebelum rehat antarabangsa pada awal bulan depan.

"Danny semakin pulih, kini dia mula berlatih, adalah sangat penting untuk dia pulih dengan baik dan memperbaiki keadaan fizikalnya," katanya.

"Ia sangat penting untuk memulihkannya dengan baik. Jika saya cuba meletakkannya di atas padang tanpa kecergasan yang baik, saya akan mengambil risiko kecederaan lain.

"Saya harap Kante kembali tidak lama lagi sebelum rehat antarabangsa. Pemulihannya berjalan dengan lancar. Dia mula berlatih tetapi bukan bersama dengan pasukan.

"Jika khidmatnya dapat digunakan sebelum perlawanan menentang Roma dan Manchester United, saya sangat gembira.

"Setiap tahun, anda membina dan meletakkan sesuatu yang baru ke dalam pasukan anda, itulah musim pertama saya.

"Musim ini pula, kami sedang cuba membina semula sesuatu di Chelsea, kami kehilangan banyak pemain penting, ramai pemain utama yang telah menulis sejarah kelab ini. Sekarang kami cuba membinanya semula.

"Musim ini, kami menukar lima pemain dan membeli lima pemain. Kami berusaha membina semula sesuatu yang penting, jadi anda perlu mengorbankan sesuatu dalam keadaan ini."

Watford hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir liga dan mereka bangkit mengalahkan Arsenal 2-1 di tempat mereka. Sehubungan itu, Conte menjangkakan ujian sukar di Stamford Bridge.

"Watford telah melakukannya dengan sangat baik, mereka mempunyai pasaran perpindahan yang cukup bagus untuk mengukuhkan pasukan," katanya lagi.