Pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen, berkemungkinan kembali beraksi dalam pertemuan dengan Chelsea selepas berehat selama dua bulan, kata pengurus pasukan, Mauricio Pochettino.

Pemain Belgium itu beraksi buat kali terakhir pada 29 September lalu ketika Spurs menundukkan Huddersfield Town 2-0 di tempat lawan tatkala dia dikeluarkan di waktu rehat akibat masalah bahagian paha.

Kecederaan itu membuatkannya tersisih tetapi dia kembali menyertai sesi latihan selepas saingan antarabangsa sambil Spurs bersedia untuk mengharungi minggu sukar.

Chelsea bakal bertandang ke Wembley esok dan aksi itu disusuli pertemuan menentang Inter Milan di laman sendiri bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah empat hari kemudian sebelum aksi setempat berdepan Arsenal pada 2 Disember.

Pochettino berwaspada dengan risiko tonggak utama tetapi menolak untuk mengetepikannya dalam pertemuan dengan anak-anak buah Maurizio Sarri itu.

"Ia satu berita baik dan dia telah menyertai sesi latihan," kata Pochettino.

"Kami harus menunggu lewat hari ini untuk mengetahui sama ada dia akan disenaraikan.

"Vertonghen merupakan pemain penting buat kami. Kami berdepan tempoh sibuk, jadi penting untuk pemain kami pulih."

Spurs kini menduduki tangga keempat Liga Perana Inggeris, dibezakan hanya satu mata dengan Chelsea yang berada di tempat ketiga.