Bekas kapten Chelsea dan England, John Terry, mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak.

Terry tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak dilepaskan oleh Aston Villa pada penghujung musim lalu selepas kelab itu tewas di peringkat play-off Liga Kejuaraan di tangan Fulham.

Bagaimanapun, spekulasi menular bahawa dia bakal kembali ke Villa Park selaku pembantu jurulatih buat Thierry Henry yang menjadi calon hangat untuk menggantikan pengurus yang dipecat, Steve Bruce.

Khabar angin itu semakin bertiup kencang selepas Terry menggunakan laman Instagram untuk mengumumkan dia telah menggantung kasut.

"Selepas mengharungi tempoh hebat selama 23 tahun selaku pemain bola sepak, saya membuat keputusan pada waktu yang tepat untuk bersara daripada beraksi," kata Terry.

Terry, yang memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika bersama Chelsea, menolak perpindahan ke Spartak Moscow atas sebab keluarga pada awal musim ini dan dia turut dikaitkan dengan khabar angin bakal kembali ke Stamford Bridge untuk membarisi staf kejurulatihan di bawah kendalian Maurizio Sarri.

Terry muncul daripada skuad belia Chelsea dan melakukan penampilan pertama bersama skuad utama pada 1998 sebelum pantas mengesahkan status selaku tonggak penting buat barisan benteng The Blues.

Pertahanan itu dijadikan kapten oleh Jose Mourinho selepas Marcel Desailly bersara dan mengetuai kelab melalui antara detik penting dalam sejarah pasukan.

Pelaburan besar oleh jutawan Russia, Roman Abramovich, membolehkan Chelsea mendominasi peringkat domestik dengan memenangi Liga Perdana Inggeris bagi musim 2004/05 dan 2005/06.

Walaupun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti sehingga membuatkan Chelsea terlepas trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2008 selepas tewas di tangan Manchester United, dia menjulang piala berprestij Eropah itu empat tahun kemudian meskipun terlepas aksi final menentang Bayern Munich akibat penggantungan dan The Blues juga menjulang trofi Liga Europa dalam musim seterusnya.

Di peringkat antarabangsa, Terry menjadi tonggak utama England dengan melakukan 78 penampilan buat The Three Lions.