Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United mungkin kehilangan penyerang pinjaman, Odion Ighalo, pada akhir minggu ini.

United berusaha untuk melanjutkan tempoh pinjaman bekas penggempur Watford itu di Old Trafford, tetapi kesepakatan belum dapat dicapai dengan kelab Cina induknya, Shanghai Shenhua.

Pengurus itu ingin terus mempertahankan khidmat Ighalo jika Liga Perdana Inggeris (EPL) disambung semula selepas terjejas akibat Covid-19.

Selepas menyerlah dalam kemunculan awalnya sejak tiba Januari lalu, kontrak jangka pendek pemain dari Nigeria itu bakal berakhir hujung bulan ini.

Solskjaer memberitahu MUTV: "Perjanjian pinjamannya berlangsung hingga akhir bulan ini jadi dia sepatutnya kembali (ke pangkuan kelab asal).




"Kami sedang berbincang. Kelabnya bersikap baik terhadap kami apabila membenarkannya beraksi untuk kelab impiannya.

"Ia adalah impian buatnya dan semoga dia dapat menamatkan apa yang telah dimulakannya, semoga dia membantu kami meraih trofi.

"Setakat ini, belum ada apa-apa perjanjian baru yang dipersetujui. Liga mereka akan bermula tidak lama lagi jadi kami hanya perlu tunggu untuk lihat."

Pemain berumur 30 tahun itu, yang menyokong United sejak kecil, telah merekodkan empat jaringan dalam lapan penampilan bersama The Red Devils termasuk menyumbangkan gol dalam ketiga-tiga penampilan kesebelasan utama.