Unai Emery menolak untuk berbincang mengenai masa depannya selepas Arsenal tewas 2-1 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, sekali gus menambah tekanan buat pengendali itu.

Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan The Gunners di depan dalam waktu kecederaan babak pertama tatkala Granit Xhaka beraksi buat kali pertama sejak dilucutkan jawatan kapten.

Namun, persembahan meyakinkan dipersoal selepas rehat susulan dua jaringan Daichi Kamada membuatkan tuan rumah berputih mata.

"Saya memikirkan tentang perlawanan seterusnya dan bagaimana boleh kami tingkatkan prestasi serta mendapatkan keyakinan pemain," katanya.

"Mereka tahu perasaan kami terganggu tetapi jika kami meneruskan aksi dalam babak pertama, itu adalah caranya.

"Tugas saya adalah menganalisis perlawanan, kedudukan kami dalam Liga Europa serta perasaan dan bagaimana untuk beraksi Ahad nanti.

"Dalam babak pertama, kami gembira dengan persembahan sebagai satu pasukan dan individu. Kami memulakan separuh masa kedua dengan corak sama tetapi hilang kawalan dalam tempoh 15 minit dan lawan menghasilkan gol.

"Akhirnya, kami membawa keluar dua pemain kerana kecederaan dan tidak mampu melakukan pertukaran secara menyerang. Kami tidak menggunakan peluang untuk seri atau memenangi perlawanan itu."

Dalam aksi itu, David Luiz dan Shkodran Mustafi dibawa keluar sambil Xhaka meneruskan permainan dalam keadaan menahan kesakitan kecederaan lutut.

Namun, Nicolas Pepe dan Alexandre Lacazette kekal di bangku simpanan, sekali gus meningkatkan persoalan mengenai corak pengurusan Emery selepas pengendali Frankfurt, Adi Hutter, memasukkan Mijat Gacinovic dan Dominik Kohr selepas rehat untuk melancarkan serangan.

"Kami perlu mendapatkan keyakinan di Emirates dan beraksi baik. Kami telah meningkat dalam beberapa perkara untuk meraih tiga mata tetapi dalam tempoh 15 minit, kami hilang arah," tambah Emery.

"Saya bercakap dengan pemain agar lebih konsisten dan positif tetapi kami sangat perlukan kemenangan.

"Untuk memulihkan keyakinan, kami perlu menang dan berasa lebih bagus di laman sendiri. Mungkin kami berhak meraih sesuatu yang lebih tetapi ini adalah kekalahan pertama kami di tempat sendiri musim ini."