Pep Guardiola memberitahu barisan wartawan agar terus merujuk kepada wakil Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas ditanya mengenai bentesan terhadap David Silva yang sepatutnya menghasilkan sepakan penalti ketika Manchester City menundukkan Bournemouth 3-1, semalam.

Silva dijatuhkan di dalam petak penalti dalam babak kedua ketika aksi di Stadium Vitality itu dan ulang tayang menunjukkan kakinya dibentes Jefferson Lerma tetapi VAR menyebabkan pengadil, Andre Marriner, tidak memberikan sepakan penalti.

Keputusan itu hadir selepas jaringan Raheem Sterling dibatalkan kerana ofsaid ketika aksi pembukaan menentang West Ham dan Gabriel Jesus dinafikan gol kemenangan sewaktu berdepan Tottenham Hotspur tatkala kedua-dua situasi itu melibatkan VAR.

Ditanya mengenai terjahan ke atas Silva ketika menentang Bournemouth, Guardiola berkata: "Tidak, tidak, tidak, penalti, tidak, tidak.

"Ia jelas situasi menyaksikan bola terkena tangan ketika menentang Spurs, saya melihat perlawanan itu. Penalti? Tidak," katanya.

Selain itu, sewaktu ditanya mengenai potensi isu yang dibawa VAR dalam mesyuarat melibatkan semua pengurus pasukan Liga Perdana Inggeris sebelum saingan bermula, Guardiola menjawab: "Tanya kepada wakil VAR, bukan saya."

City belum tewas dalam tiga aksi liga musim ini dan mereka bakal berdepan Brighton and Hove Albion di laman sendiri Sabtu ini tatkala mereka berusaha meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga berturut-turut.

Guardiola memberikan gambaran positif mengenai pasukannya selepas menundukkan West Ham dan Bournemouth serta seri dengan Spurs sebelum ini.

"Cabaran musim ini akan menjadi lebih hebat buat kami," katanya.

"Selepas menang dua kejuaraan liga berturut-turut, ia menjadi lebih getir."