Jose Mourinho menolak untuk memberi komen mengenai laporan bahawa Zinedine Zidane telah menghubunginya berhubung kedudukannya di Manchester United.

Akhbar di England mendakwa Zidane telah menghubungi Mourinho untuk menjelaskan mengenai laporan bahawa dia telah dikaitkan dengan jawatan pengurus di Old Trafford.

Tekanan buat Mourinho semakin memuncak susulan kekalahan 3-1 di tangan West Ham, Sabtu lalu, sehingga membuatkan permulaan United dalam saingan Liga Perdana Inggeris mencatat rekod terburuk.

Zidane, yang memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah secara berturut-turut bersama Real Madrid sebelum meletakkan jawatan, dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan Mourinho.

Namun, pengendali dari Portugal itu tidak memberikan sebarang kenyataan sama ada Zidane telah menghubunginya mengenai jawatan itu.

"Tanya lelaki di belakang anda, dia yang menulisnya. Tanyakan padanya," kata Mourinho dalam sidang media, semalam.

"Daripada anda bertanya kepada saya, lebih baik tanya kepada dia. Dia yang menulis tentang perkara itu," tegasnya.

Mourinho juga menolak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada dia telah berbincang dengan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward, tentang kedudukannya dalam kelab.

"Ia adalah perihal peribadi," tambah Mourinho.

"Saya tidak bertanya anda berbual dengan siapa pagi ini atau individu terakhir yang anda hubungi.

"Saya tidak akan menjawab kerana ia perkara peribadi."

Mourinho juga ditanya jika dia khuatir akan dipecat tetapi dia membalas: "Tidak, saya tidak rasa begitu."