Tandukkan Crouch selamatkan The Potters

Oleh Penulis Jemputan 4 November 2017 510
Tandukkan Crouch selamatkan The Potters
STOKE CITY 2 LEICESTER CITY 2

Stoke City dan Leicester City berkongsi mata selepas seri 2-2 di Stadium bet365 buat kali ketiga berturut-turut selepas penyerang veteran, Peter Crouch, menyelamatkan satu mata buat pasukan tuan rumah.


Skuad kendalian Mark Hughes itu berjaya mengelak kekalahan ketiga dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun ketinggalan dua kali.

Vicente Iborra menjaringkan gol pembukaan buat Leicester sebelum Riyad Mahrez meledak gol kedua buat The Foxes untuk menidakkan jaringan penyamaan Xherdan Shaqiri dalam babak pertama.

Ketika Leicester di ambang kemenangan kedua berturut-turut sejak Claude Puel mengambil alih tugas daripada Craig Shakespeare, mereka terpaksa akur dengan satu mata selepas Crouch berjaya menanduk masuk hantaran silang Shaqiri bagi merekodkan gol yang ke-15 sebagai pemain gantian.

Pada penghujung permainan, Stoke hampir melakar kemenangan menerusi percubaan Kurt Zouma yang bagaimanapun berjaya ditepis oleh penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Keputusan ini meletakkan The Potters empat mata di atas zon penyingkiran dan Crouch percaya keputusan ini sangat penting buat pasukannya.

"Ia merupakan keputusan yang adil, kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk memenangi perlawanan ini.

"Saya sangat gembira kerana menjaringkan gol, ia akan membantu saya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan," kata Crouch.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen