Tampanan terbaik pernah saya lihat -- Solskjaer

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2018 143
Tampanan terbaik pernah saya lihat -- Solskjaer
UNITED 3 HUDDERSFIELD 1

Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menyifatkan tampanan oleh David de Gea ketika berdepan Huddersfield Town adalah yang terbaik pernah disaksikannya.


The Red Devils melakar kemenangan kedua di bawah pimpinan Solksjaer semalam selepas menyaksikan dua jaringan Paul Pogba dan satu gol daripada Nemanja Matic memberikan kemenangan 3-1 ke atas Huddersfield di Old Trafford.

Kemenangan yang diraih itu tidak begitu selesa jika dibandingkan ketika mengatasi Cardiff City 5-1 minggu lalu dan De Gea dipaksa bekerja keras untuk menafikan percubaan Laurent Depoitre, tiga minit sebelum Pogba menjadikan kedudukan 2-0.

Solskjaer mengakui ia merupakan tampanan yang berkualiti dilakukan oleh pemain kebangsaan Sepanyol itu.

"Tampanan itu sangat penting buat pasukan," katanya. 

"Setiap pasukan memiliki kualiti yang tersendiri dalam saingan EPL. De Gea telah menafikan jaringan yang paling terbaik pernah saya saksikan," ujarnya.

Solskjaer mengakui skuad kendaliannya tidak berada pada tahap terbaik ketika memulakan perlawanan dalam separuh masa kedua selepas mendominasi 45 minit pertama.

"Ia merupakan keputusan yang baik. Kami bermula dengan agak perlahan, tidak melakukan banyak percubaan pada awal permainan.

"Selepas meraih gol pertama, permainan United menjadi lebih lancar, kami melakukan hantaran dengan lebih baik. Terdapat satu tempoh dalam separuh masa pertama, kami hampir meledak gol kedua dan menoktahkan permainan.

"Tetapi kami menghadapi kesukaran pada permulaan separuh masa kedua. Huddersfield mula mencari jalan untuk menembusi pertahanan kami."

Pengurus Huddersfield, David Wagner, kecewa pasukannya gagal melunaskan peluang selepas percubaan demi percubaan yang dilakukan sebelum mereka meraih jaringan sagu hati pada minit ke-88 menerusi Mathias Jorgensen.

"Saya tidak pasti sama ada kami berhak tewas dalam perlawanan ini. Kami bermain dengan baik, memiliki peluang terbuka pertama menjaringkan gol tetapi gagal menyempurnakannya.

"Kami tewas kepada pasukan yang memiliki barisan pemain bertaraf dunia. Paul Pogba dan De Gea mempamerkan persembahan cemerlang," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen