Penantian peminat Chelsea untuk menerima kehadiran Timo Werner seakan-akan berakhir apabila kelab Liga Perdana Inggeris itu mengumumkan perjanjian dengan seorang penyerang.

Minggu lalu, The Blues dilaporkan telah mengaktifkan klausa perpindahan penyerang Jerman, Werner, dengan jumlah sekitar GBP54 juta (RM292 juta) dan memenangi saingan mendapatkan khidmat penggempur RB Leipzig itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bundesliga, Oliver Mintzlaff, menafikan perjanjian sudah dicapai walaupun Werner dilihat hampir pasti memperkuatkan skuad kendalian Frank Lampard, musim depan.

Kenyataan rasmi masih belum diumumkan tetapi peminat Chelsea menyangka ia telah dilakukan menerusi laman Twitter pasukan.

"Tahniah, Tino," memetik ciapan Twitter kelab itu dengan tanda tangan memegang pen.

Namun, ia bukan kesalahan ejaan sebaliknya Chelsea mengumumkan perjanjian lima tahun dengan penyerang berusia 18 tahun, Tino Anjorin.

Pemain muda itu merupakan penjaring terbanyak The Blues bersama skuad pembangunan musim ini dan memenangi Piala Belia FA 2018 bersama Callum Hudson-Odoi dan Billy Gilmour.

Anjorin mencatat penampilan senior pertama dalam saingan Piala EFL, awal musim ini dan masuk selaku pemain gantian ketika menentang Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Mac lalu.