Sukar cari pengganti sepertinya -- Lucas harap Kane kekal

Oleh Nafis Abdullah 16 April 2020 119
Sukar cari pengganti sepertinya -- Lucas harap Kane kekal
Lucas Moura berharap Harry Kane akan kekal di Tottenham Hotspur dan mengakui sukar untuk mencari pengganti penggempur itu.

Kane menjadi subjek spekulasi perpindahan selepas bulan lalu menyatakan dia tidak semestinya kekal bersama Spurs.

Lucas berkata Kane -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid -- merupakan tonggak penting Spurs dan mahu pemain England itu kekal bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

"Sukar untuk bercakap mengenai masa depan dan perbincangan kerana ia keputusan peribadi. Saya yakin setiap musim Tottenham menerima tawaran untuk Kane," katanya.

"Bukan saya yang akan buat keputusan tetapi semestinya saya mahu beraksi bersamanya musim depan. Saya mahu dia kekal kerana Kane sangat penting buat kami dan sukar untuk mencari pemain sepertinya.

"Semua orang tahu dia seorang pemain hebat. Dia sangat penting buat pasukan selaku penyerang kami dan menjaringkan gol dalam hampir kesemua perlawanan. Saya pasti Jose Mourinho mahu mengekalkannya. Dia mengharapkan Kane sepanjang musim serta saingan akan datang."


Saingan Liga Perdana Inggeris ditangguhkan bulan lalu ekoran wabak coronavirus dan Spurs menduduki tangga kelapan.

Sehingga kini, masih belum ada keputusan mengenai waktu liga disambung dan Lucas tidak pasti jika ia selamat untuk diteruskan walaupun secara tertutup.

"Saya tidak tahu jika ia benar-benar selamat kerana saya mungkin dijangkiti tanpa sebarang simptom. Kemudian, saya menyentuh rakan sepasukan atau lawan, kami tidak tahu," tambahnya.

"Saya tidak pasti apa yang terbaik. Bermain atau tidak, beraksi depan penyokong atau tidak, ia situasi yang sukar. Saya tidak pasti jika ia selamat walaupun tanpa penonton."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen