Jurgen Klopp mendedahkan sudah mengintai kelibat Diogo Jota selama "dua atau tiga tahun" selepas penyerang itu meledak jaringan dalam penampilan pertamanya bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut ketika membenam Arsenal.

Jota, bertukar angin ke kelab Merseyside itu daripada Wolves dengan harga £41 juta (RM219.9 j) yang dilaporkan awal bulan ini, dimasukkan dari bangku simpanan untuk menggegar gawang dalam kemenangan 3-1 di Anfield, awal pagi tadi.

Klopp gembira melihat aksi tonggak antarabangsa Portugal itu sambil mengatakan penyerang berkenaan adalah sosok pemain yang didambakannya sejak beberapa tahun lalu.

"Saya sangat gembira buat Diogo Jota. Dia pemain yang hebat, sangat sukar untuk meningkatkan prestasi pasukan seperti kami," kata pengurus Liverpool itu kepada BBC Sport.

"Dia sudah berada dalam senarai saya sejak dua atau tiga tahun lalu, kini dia ada di sini."

Tambah Klopp dalam sidang akhbar itu: "Diogo dimasukkan dan bermain secara semula jadi, dia cuba membantu pertahanan dengan caranya. Dia hanya memenuhi 20 peratus apa yang kami pesankan; kami akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan perkara itu dan ia akan mengambil masa.

"Hari ini dia dapat menyaksikan apa yang dilakukan Sadio Mane sepanjang 60 atau 70 minit, kemudian dia dimasukkan dan beraksi dengan sangat baik. Dia menjaringkan gol yang luar biasa, ia perlawanan pertama yang bagus buatnya di Anfield. Dia pasti tidak akan melupakannya, begitu juga saya. Ia satu permulaan yang indah.

"Walaupun membuat permulaan yang dominan, Liverpool ketinggalan ekoran kesilapan Andy Robertson yang memberi ruang buat gol pendahuluan Alexandre Lacazette pada minit ke-25.

Bagaimanapun, Mane dan Robertson menggandakan kedudukan tuan rumah sebelum rehat dan Jota mengesahkan kemenangan itu pada minit ke-88.

"Ia sesuatu yang bagus. Ini perlawanan yang sangat bagus. Saya menghargai setiap detik perlawanan ini. Saya tidak gembira dengan gol yang kami bolosi tetapi saya sangat seronok dengan reaksi selepas itu," katanya lagi.

"Berdepan pasukan handalan dalam pertembungan seperti malam ini adalah sesuatu istimewa. Ia mungkin tidak akan membantu kami dalam perlawanan yang lain tetapi untuk malam ini ia sudah cukup bagus, saya harus katakan begitu.

"Saya sangat menyukainya: kami dominan, kami bermain bola sepak, kami sukar dikekang dengan melancarkan serangan balas terbaik, menampilkan karakter yang hebat dan memperagakan beberapa elemen yang sangat menarik.

"Arsenal tidak mempunyai banyak peluang tetapi beberapa kesempatan yang mereka adalah yang berkualiti. Saya rasa mereka sering terperangkap dengan ofsaid sementara kami pula bertahan dengan baik, Ali (Alisson) juga tampil menyelamatkan keadaan. Ini semua perkembangan yang bagus, ia sangat baik daripada segi prestasi. "

Liverpool dan Arsenal akan berentap lagi awal pagi Jumaat ini dalam pusingan 16 Piala Liga Inggeris (EFL).