Watford mengumumkan Isaac Success telah menandatangani kontrak baru selama lima tahun dan mengikut jejak langkah pengendali, Javi Gracia, untuk terus bersama pasukannya.

Success muncul pemain termahal dalam sejarah kelab selepas berhijrah dari Granada dua tahun lalu menerusi perpindahan yang dilaporkan bernilai sekitar GBP12.5 juta (RM66 juta).

Pemain Nigeria itu menjaringkan dua gol dalam saingan liga buat pasukannya walaupun sering dihantui masalah kecederaan.

Bagaimanapun, Watford menunjukkan kepercayaan buat pemain berusia 22 tahun itu dengan memberikannya kontrak baru di Vicarage Road, sehari selepas Gracia menandatangani kontrak selama empat tahun enam bulan.

"Ini adalah ganjaran untuk Success terus bekerja keras dan beraksi cemerlang musim ini," kata pengerusi dan ketua eksekutif kelab, Scott Duxbury.

"Kami ingin melihatnya terus berkembang dalam beberapa tahun lagi."

Success menghabiskan pusingan kedua musim lalu melalui tempoh pinjaman bersama Malaga tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan tatkala mereka tersingkir daripada saingan LaLiga.