Daniel Sturridge masih ada urusan yang belum selesai dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan terdesak untuk kembali menyertai liga divisyen utama England itu.

Pemain berusia 30 tahun itu tidak mempunyai pasukan selepas meninggalkan Trabzonspor pada Mac lalu, di mana dia tidak dapat bermain buat pasukan itu gara-gara digantung selama empat bulan berikutan melanggar undang-undang pertaruhan Persatuan Bolasepak England (FA).

Bekas penyerang Liverpool, Chelsea dan Manchester City itu menjaringkan 76 gol daripada 218 penampilannya dalam EPL dan walaupun masih boleh bermain di negara lain, Sturridge masih berkeinginan untuk kembali ke negara asalnya, England.

"Kami mempunyai pilihan di serata dunia tetapi saya seorang pemain England dan saya mahu kembali bermain dalam EPL," katanya kepada Sky Sports.

"Saya percaya masih banyak yang boleh saya berikan dalam EPL dan ia merupakan pilihan utama saya.

"Saya berasakan seperti ada urusan yang masih belum diselesaikan, jadi saya mahu kembali dan bermain di sana.

"Saya terbuka untuk beraksi dalam liga lain, bukan hanya memikirkan mengenai EPL tetapi untuk kembali ke England dan memberikan yang terbaik merupakan satu pilihan yang besar.

"Saya amat teruja, saya lebih bernafsu berbanding sebelum ini dan amat-amat fokus untuk membuka lembaran baru," katanya.

Sturridge mengekalkan kecergasannya di Los Angeles dan percaya statusnya sebagai pemain ejen bebas menjadikannya sebagai pilihan yang menarik untuk pasukan yang berpotensi.

"Saya mahu berfikir bahawa saya adalah antara pilihan yang terbaik buat beberapa pasukan.

"Saya pemain ejen bebas dan saya pernah bermain bersama banyak pasukan terkemuka di serata dunia.

"Saya sudah bersedia untuk membantu mana-mana pasukan untuk berjaya dan menjadi sebahagian besar daripada perancangan mereka.

"Saya percaya masih banyak yang saya boleh sumbangkan.

"Walaupun saya sudah lama tidak bermain, saya boleh katakan yang perjalanan saya masih jauh dan saya masih mampu untuk melaluinya," katanya lagi.