Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, menafikan dia terlibat dalam perjudian bola sepak walaupun didakwa melanggar undang-undang pertaruhan dalam Persatuan Bolasepak England (FA).

Pemain berusia 29 tahun itu disabitkan dengan salah laku yang melanggar peraturan E8(1)(a)(ii) dan E8(1)(b) FA, Januari lalu.

Bagaimanapun, dia diberikan tempoh sehingga 20 November ini bagi menjawab pertuduhan itu.

Liverpool memaklumkan penyerang itu telah memberikan kerjasama yang baik kepada FA, namun menafikan dia terlibat dengan sebarang bentuk pertaruhan dalam bola sepak.

"Daniel telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam melalui keseluruhan proses siasatan dan dia berjanji kepada kami bahawa dia akan terus melakukannya," kata jurucakap Liverpool, awal pagi tadi.

"Daniel juga telah menyatakan yang dia tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian bola sepak.

"Kami akan menunggu keputusan keseluruhan siasatan sebelum memberikan butiran lanjut."

Sturridge melakukan 12 penampilan buat Liverpool sepanjang musim ini selain turut menyumbangkan empat gol dalam semua kejohanan.