Daniel Sturridge gembira dapat menjaringkan gol kelab yang ke-100 ketika menentang Huddersfield Town meskipun penyerang Liverpool berkenaan lupa mengenai pencapaian peribadinya itu.

Pemain antarabangsa England itu memanfaatkan peluang menerusi tandukan selepas Tommy Smith gagal mengeluarkan bola dengan kemas, untuk meletakkan tuan rumah di depan lima minit selepas waktu rehat di Anfield, semalam.

Lambungan Sturridge berdepan penjaaga gol, Jonas Lossl, menyaksikannya meraih gol ke-62 untuk Liverpool tetapi ia gol ke-100 keseluruhan dalam kerjayanya dalam kelab, yang sebelum ini bermain untuk Bolton, Chelsea dan Manchester City.

"Saya tidak terfikir mengenainya, saya nyata terlupa," kata Sturridge kepada laman web Liverpool.

"Mudah-mudahan ada banyak lagi gol yang datang. Saya berharap dapat menjaringkan 100 lagi sebelum karier saya berakhir. "

Hanya bermain empat perlawanan Liga Perdana di bawah pengurus, Jurgen Klopp, musim ini, Sturridge memanfaatkan peluang sebelum ditukar pada minit ke-74.

Sementara itu, penyerang berusia 28 tahun itu gembira menyumbang kepada kemenangan 3-0 pasukannya, dengan menganggap jaringan ke atas Huddersfield itu tidak semesti membawanya kepada kesebelasan utama.

"Ia untuk mendapatkan rentak. Bagi diri saya, saya rasa lebih baik saya bermain seperti biasa," kata Sturridge.

"Tetapi pengurus memilih pasukan dan saya tidak akan menimbulkan isu atau masalah kerana dia bos, saya sangat menghormati dia dan keputusannya.

"Apabila saya masuk ke padang, penting bagi saya untuk menunjukkan apa yang boleh saya lakukan.

"Tidak kira berapa minit yang anda dapat, anda perlu melakukan yang terbaik dan menunjukkan apa yang boleh anda lakukan untuk pasukan.

"Saya berterima kasih kerana (Klopp) memberi kepercayaan kepada saya hari ini dan saya berharap untuk membalasnya dengan gol," tambahnya.