Pep Guardiola menyamakan kualiti yang dimiliki John Stones dengan pertahanan Barcelona, Gerard Pique, dan berasakan Manchester City bertuah kerana memiliki pemain pertahanan itu walaupun dia dikecam hebat ketika beraksi bersama England.

Stones menjadi pemain pertahanan termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris apabila dia berhijrah ke City dari Everton pada Ogos.

Walaupun mempamerkan aksi mantap pada awal saingan, namun dia mula dikritik ekoran gemar memegang bola terlalu lama sehingga mudah diambil kesempatan oleh pihak lawan.

Bulan lalu, Southampton meledak gol penyamaan ekoran kesilapan Stones yang memegang bola terlalu lama sebelum hantarannya dipintas Nathan Redmond untuk menjadikan keputusan 1-1.

Kelemahan sama turut diulangi di pentas antarabangsa bersama England ketika berdepan Scotland dan Sepanyol sebelum ini.

Meskipun ada pihak yang mempersoakan corak permainanya, Guardiola percaya Stones mampu muncul selaku pertahanan yang mantap sepertimana dilakukan Pique di Barcelona.

"Pada saya, sukar untuk mencari pemain pertahanan yang memiliki kualiti sepertinya," Pep memberitahu sidang media menjelang aksi berdepan Crystal Palace.

"Kadang-kala kamu perlu membuat dia faham bahawa ada masanya dibolehkan untuk memegang bola dan ada masanya ia tidak sesuai.

"Perlu diingatkan, Gerard Pique turut mempamerkan aksi sama tetapi dia kini muncul antara pemain pertahanan terbaik dunia.

"Stones memerlukan masa untuk memperbaiki kelemahannya.

"Dia memiliki kualiti dan personaliti menarik, dia mampu mengawal bola dengan baik. Apa yang penting adalah tidak berasa takut untuk melakukannya.

"Pada saya, kerana itulah Manchester City bertuah memiliki pemain sepertinya."