Mikel Arteta berkata spekulasi yang mengaitkan Arsenal dengan perpindahan pertahanan Manchester City, John Stones, adalah tidak benar.

Kecederaan yang melanda Sead Kolasinac, Calum Chambers, Kieran Tierney dan Hector Bellerin menyebabkan Arsenal kekurangan pilihan di bahagian benteng.

Dalam masa yang sama, laporan mengenai kesangsian masa depan Stones di City juga timbul sehingga mengaitkan pengurus itu dengan perpindahan pemain antarabangsa England berkenaan yang telah membarisi City selama tiga setengah tahun.

Bagaimanapun, Arteta menegaskan ia hanya spekulasi meskipun mengakui kekagumannya terhadap Stones yang belum memulakan sebarang perlawanan bersama City musim ini.

"Berita buruk buat kamu (media), saya tidak dapat menawarkan apa-apa untuk bercakap mengenainya," katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya sama ada The Gunners menjangkakan sebarang kemasukan segera dalam jendela perpindahan bulan ini.

"Tidak, tidak benar sama sekali," katanya ketika ditekan mengenai hala tuju Stones selain turut menepis khabar angin sedang memburu pemain tengah Milan, Franck Kessie.

"John merupakan seorang pemain yang saya gemari. Apabila saya melihat kepada pertahanan tengah, dia mempunyai banyak ciri-ciri yang saya gemari tetapi saya tidak memburunya."

Namun, pengurus berusia 38 tahun itu mengesahkan kelab London berkenaan berminat untuk mengukuhkan skuad mereka jika mempunyai peluang yang tepat.

"Ia harus menjadi pemain yang tepat, dalam konteks yang tepat dalam soal kewangan. Kami mempunyai sumber dan mampu menarik perhatian pemain baru," katanya.

"Semua faktor ini memainkan peranan dan bukan mudah untuk berurusan dalam pasaran pemain ketika ini. Saya mempunyai senarai pemain tertentu untuk dipancing.

"Kami berdepan banyak masalah kecederaan, ia boleh berlaku di antara Disember dan Januari. Ia sudah menjadi lumrah, kami perlu mengharungi situasi ini.

"Kami akan menurunkan 11 pemain di padang pada Sabtu ini. Mereka akan memberikan yang terbaik dan saya akan cuba yang terbaik untuk memilih tonggak yang paling sesuai."

Arsenal akan turun tanpa penggempur utama, Pierre-Emerick Aubameyang, untuk pertembungan dengan Sheffield United di samping aksi dengan Chelsea dan Bournemouth -- masing-masing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA -- berikutan penggantungan tiga perlawanan berikutan kad merah yang dikutipnya ketika menentang Crystal Palace.

Justeru, Alexandre Lacazette akan menggalas beban memburu gol di sebalik kemarau jaringan dalam perlawanan EPL sejak 5 Disember lalu.

"Ia sesuatu yang membimbangkan saya jika dia khuatir mengenai ketandusan golnya," katanya mengenai Lacazette. "Daripada segi persembahannya, saya sangat gembira.

"Saya boleh meniupkan keyakinan kepadanya tetapi bola harus berakhir di dalam jaring. Itulah ubat terbaik."




Editor: Shaiful Shamsudin