Kapten Manchester City, Vincent Kompany, berharap perjuangan memulihkan kecederaannya menjadi inspirasi kepada John Stones apabila pemain pertahanan England itu dijangka berehat enam minggu.

Stones mengalami kecederaan hamstring dalam separuh masa pertama ketika City meraih kemenangan 2-0 ke atas Leicester City, kelmarin, dan dia kelihatan bakal berehat panjang.

Kompany, yang dibelenggu masalah kecederaan beberapa musim lalu, membuat kemunculan semula dalam perlawanan di Stadium King Power itu selepas hampir tiga bulan tidak beraksi.

Pemain antarabangsa Belgium itu percaya dia belajar daripada pengalaman kecederaannya bahawa jika melakukan usaha keras, pemain dapat kembali dengan lebih kuat.

"Stones adalah salah seorang pemain hebat setakat ini," kata Kompany kepada pemberita selepas perlawanan.

"Ia adalah perkara yang perlu anda lalui dalam kerjaya dan tiada sebab mengapa anda tidak boleh tampil lebih kuat.

"Diharapkan ia tidak terlalu buruk dan apabila dia kembali, kami perlukannya seperti kami memerlukan pemain lain. Jika tidak, kami tidak akan dapat mencapai semua sasaran kami," ujarnya.