Stevens nasihatkan Aubemeyang tinggalkan Arsenal

Oleh Fadzrie Hazis 5 Julai 2020 68
Stevens nasihatkan Aubemeyang tinggalkan Arsenal
Bekas pertahanan England, Gary Stevens berasa penyerang Arsenal, Pierre Emerick Aubameyang wajar menimbang kemungkinan berhijrah demi kelangsungan kariernya.

Dengan usia penyerang antarabangsa Gabon itu yang kini mencecah 31 tahun, Stevens berasa Aubameyang perlu membuat keputusan tepat.

“Jika lihat kepada kedudukan Arsenal kini mungkin sukar buat mereka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

“Ia adalah pentas di mana pemain dan kelab terbaik beraksi dan jika Aubameyang mahu beraksi di UCL mungkin dia perlu berhijrah.

“Dia sudah pun berusia 31 tahun dan dia perlu memutuskan keputusan terbaik untuk kariernya.

“Jika dia masih mahu memburu kejuaraan, dia mungkin perlu mencari haluan baru,” kata Stevens ketika menjadi tetamu bersama Sol Campbell dalam siaran secara langsung aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolves-Arsenal di saluran CH813 Astro Supersport pada Ahad.



Campbell pula berasa, Aubameyang wajar berbincang dulu dengan pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengenai masa depannya.

Campbell turut senada dengan Stevens, tetapi berharap bekas bintang Borrusia Dortmund itu mendapat gambaran lebih jelas daripada pengurus Arsenal sebelum membuat keputusan.

“Adalah lebih baik dia berbincang dengan Mikel Arteta, bagi mengetahui apa perancangannya musim depan.

“Tanya pengurus apa perancangan Arsenal musim depan, apakah mereka akan cuba mendapatkan pemain baru dan jika ya, siapakah mereka?

“Dia kini berusia 31 tahun, jadi mungkin dia mempunyai kira-kira lebih kurang tiga tahun untuk bermain di peringkat tertinggi dan dia perlu membuat keputusan tepat.

“Dia perlu mengambil keputusan terbaik yang mampu memberi kesan positif buat kariernya dalam tempoh tiga tahun akan datang,” kata Campbell.

Dalam pada itu, Campbell masih optimis Arteta adalah individu terbaik mengendalikan The Gunners meskipun mereka kini masih bergelut untuk berada di empat kedudukan terbaik EPL bagi memastikan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Keyakinan Campbell adalah kerana dia berasa Arteta dihormati pemain dan juga berasa ia hanya wajar memberikannya sedikit masa melakukan perubahan.

“Dia adalah bekas pemain Arsenal dan juga pernah menjadi penolong Pep Guardiola di Manchenster City, jadi sudah pasti banyak dia pelajari di sana.

“Untuk melihat Arteta melakukan perubahan ia memerlukan masa dan sudah pasti dia juga memerlukan sokongan pucuk pimpinan kelab untuk mendapatkan beberapa pemain baru musim depan.

“Layak ke UCL tampak sukar, tetapi bagi dia selesaikan tugasan musim ini dan lihat berapa jauh dia mampu membawa Arsenal dulu,” kata Campbell.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen