Penolong jurulatih Chelsea, Steve Holland, telah dilantik selaku pembantu kepada pengendali England, Gareth Southgate.

Jurulatih berusia 46 tahun itu akan kekal bersama Chelsea sehingga hujung musim ini sebelum dilantik sepenuhnya selaku pembantu.

Holland bukanlah nama asing buat The Three Lions apabila pernah berkerjasama bersama Southgate ketika mengendalikan skuad B-21 sejak Ogos 2013 dan telah pun membantu skuad senior sejak Southgate dinamakan pengendali baru.

Southgate dalam kenyataannya yang dimuat naik ke laman sesawang rasmi England berkata:"Saya sangat teruja dengan perlantikan Steve selaku pembantu saya.

"Kami telah berkerjasama dengan cukup baik dalam tempoh tiga tahun ini dan saya sangat menghormati cara dia berkerja. Dia seorang yang profesional dan memiliki ketelitian dalam tugasnya.

"Sasaran awal kami adalah untuk melahirkan pemain muda England yang memiliki corak permainan tersendiri di samping memiliki mentaliti kemenangan. Saya rasa kami telah menempuh perjalanan yang panjang bersama skuad B-21.

"Cabaran bersama skuad senior cukup berbeza tetapi pengalaman yang dimiliki Steve dalam melatih pemain elit di Chelsea bermakna dia tahu apakah yang diperlukan dalam membentuk skuad bertaraf dunia."