MANCHESTER CITY 3 ASTON VILLA 0

Raheem Sterling menyempurnakan minggu yang gemilang dengan gol pendahuluan untuk Manchester City kembali ke landasan kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris dengan menundukkan Aston Villa 3-0 di Stadium Etihad sebentar tadi.


Penyerang England itu, yang menjaringkan hatrik pada pertengahan minggu ketika membelasah Atalanta, meledak dengan gol ketujuhnya dalam liga musim ini untuk City menenggelami cabaran Villa, yang mampu menyaingi juara bertahan itu sepanjang 45 minit pertama.

Pengurus Villa, Dean Smith, yang mengendalikan pasukan buat kali ke-50, mungkin meraih keputusan lebih baik jika tidak kerana kecemerlangan Sterling, yang tidak melakukan kesilapan daripada satu hantaran lolos hanya 20 saat selepas sepak mula separuh masa kedua.

Kevin De Bruyne melencongkan gol kedua selepas 65 minit, dengan keraguan terhadap ofsaid ditolak selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) yang panjang.

Ilkay Gundogan kemudian membunuh semangat melawan Villa dengan gol ketiga sebelum Fernandinho mencemarkan persembahan baiknya dengan layangan kad kuning kedua untuk diperintahkan keluar padang.

John McGinn memaksa satu aksi menyelamat daripada Ederson tapi City kemudian mendominasi penguasaan hanya untuk David Silva mensia-siakan satu peluang keemasan dengan merembat sipi sejurus sebelum rehat.

Separuh masa kedua baru berusia 20 saat apabila satu sepakan jauh Ederson dilorongkan oleh Gabriel Jesus kepada Sterling yang menyaksikan penyudahannya masuk di celah kaki penjaga gol Villa, Tom Heaton.

Daripada detik itu, penguasaan City terserlah dengan dua gol lagi menerusi De Bruyne dan Gundogan, yang menyumbat gol pertamanya dalam liga musim ini dengan sepakan gunting.