MANCHESTER CITY 1 CHELSEA 2

Raheem Sterling tidak merancang untuk menonton perlawanan Manchester United menentang Aston Villa berikutan kegagalan Manchester City sendiri mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Kekalahan United pada awal pagi esok akan mengesahkan City sebagai juara buat kali ketiga dalam tempoh empat musim, tetapi mereka sepatutnya menyempurnakan tugas itu ketika menyambut Chelsea di laman sendiri, tengah malam tadi.

Sterling menjaringkan gol pembukaan selepas 44 minit permainan dan pendahulu liga itu seharusnya melebarkan kelebihan mereka beberapa saat kemudian, namun teknik sepakan penalti ala Panenka oleh Sergio Aguero diselamatkan penjaga gawang.

Chelsea memperkemaskan permainan selepas rehat dan giliran mereka menggegar gawang tuan rumah menerusi Hakim Ziyech disusuli jaringan kemenangan Marcos Alonso pada masa kecederaan.

Justeru, City kini bergantung kepada keputusan di Villa Park untuk ditabalkan juara sekalipun kempen masih bersisa tiga perlawanan.

"Secara peribadinya saya tidak mahu menonton perlawanan itu," katanya kepada Sky Sports.

"Saya akan meluangkan masa bersama keluarga dan mengikuti keputusan terkini sahaja. Untuk menonton perlawanan itu adalah sesuatu yang sukar jadi saya akan berusaha untuk bersantai."

Ledakan Alonso itu menjulang The Blues untuk muncul sebagai pasukan pelawat pertama yang mencipta kemenangan di Stadium Etihad sejak tandukan Paul Scholes buat United pada April 2010.

Ia kali kedua City tewas dua kali berturut-turut di kandang sendiri pada minit ke-90 ke atas selepas 235 perlawanan apabila Stuart Dallas turut menghadiahkan kemenangan Leeds United bulan lalu.

"Sukar untuk ditelan, khususnya kami memiliki peluang untuk membunuh perlawanan tetapi kami gagal melaksanakannya," tambahnya.

"Kami dihukum, semudah itu."




City mencipta 16 percubaan tetapi hanya empat menepati sasaran.

"Alangkah bagusnya kalau dapat melebarkan kedudukan," kata ketua pasukan itu yang menamatkan kemarau jaringannya sejak Februari lalu.

"Saya fikir ia akan menjadi hari untuk kami meraikan kejayaan. Kami tidak memanfaatkan peluang yang ada dan apabila berdepan sebuah pasukan seperti Chelsea -- dengan pemain yang mereka miliki, mereka akan menghukum anda."

Sterling -- yang diasak Kurt Zouma -- semakin kecewa dengan rayuan penalti kedua mereka tidak diendahkan pengadil sebelum sentuhan pemusnah Alonso itu.



"Saya tidak dapat melepaskan tendangan gara-gara dia meletakkan lututnya di hamstring saya," katanya lagi.

"Saya tidak tahu bagaimana ia bukan satu penalti. saya tidak tahu bagaimana ia tidak disemak dengan betul. Pengadil mengatakan ia telah diteliti tetapi pada penghujung harinya, secara peribadi saya tahu ia adalah penalti.

"Saya fikir VAR (video bantuan pengadil) wujud untuk membantu tetapi nampaknya tidak.

"Dia mengatakan kepada saya bahawa itu telah diperiksa dan sudah disahkan bukan penalti. Pada saya, ia sudah pasti penalti."