Sterling bidas liputan media terhadap pemain kulit hitam 

Oleh Staff Writer 10 Disember 2018 175
 Sterling bidas liputan media terhadap pemain kulit hitam 
Raheem Sterling menggunakan media sosial untuk mengkritik liputan yang diterima pemain berkulit hitam di media selepas dia diejek oleh penyokong Chelsea dalam kekalahan 0-2 Manchester City di Stamford Bridge, semalam. 

Chelsea dan Polis Metropolitan melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada Sterling menjadi mangsa perkauman dalam kejadian itu, dengan kelab itu bersumpah untuk mengambil tindakan "yang paling tegas sekiranya perlu".

Pemain England itu menghantar mesej di Instagram sambil melampirkan artikel sebuah akhbar mengenai rakan sepasukan di Manchester City, Tosin Adarabioyo -- yang kini dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan, West Brom -- dan Phil Foden, dengan membandingkan kedua-dua pemain tersebut menerima layanan yang berbeza di media selepas kedua-duanya membeli rumah untuk ibu bapa mereka.

"Saya biasanya tidak bercakap banyak tetapi apabila saya fikir pendapat saya perlu diberi perhatian, maka saya akan bercakap," tulis Sterling.

"Mengenai apa yang dikatakan dalam perlawanan dengan Chelsea, seperti yang anda lihat melalui tindak balas saya, saya terpaksa ketawa kerana saya tidak menjangkanya. 

"Sebagai contoh, anda mempunyai dua pemain muda yang memulakan kerjaya mereka. Kedua-duanya bermain untuk pasukan yang sama, kedua-duanya telah melakukan perkara yang betul dengan membeli rumah baru untuk ibu bapa mereka yang telah mencurahkan banyak masa dan kasih sayang demi melihat anak-anak mereka mencapai cita-cita.

"Begitupun, lihatlah bagaimana perbandingan akhbar-akhbar menyampaikan mesej mereka terhadap pemain muda berkulit hitam dengan pemain berkulit putih. 

"Saya fikir ia tidak boleh diterima. Kedua-duanya tidak melakukan sebarang kesalahan dan pihak yang tidak bersalah, cuma cara media mentafsirnya berbeza. 

"Pemain muda berkulit hitam mendapat liputan tidak baik. Ia mendorong kepada perkauman dan perilaku yang agresif.

"Jadi, untuk semua akhbar yang tidak memahami mengapa orang bersifat perkauman hari ini dan sejak sekian lama, saya mahu mereka untuk bersikap adil mengenai publisiti dan memberikan semua pemain peluang yang sama rata."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen