Spurs tidak mahu lepaskan bintang utama

Oleh Penulis Jemputan 12 Januari 2018 428
Spurs tidak mahu lepaskan bintang utama
Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy, berkata pasukannya tidak akan menjual mana-mana pemain bintang sebelum bermulanya aksi musim depan.

Dua bintang muda England, Harry Kane dan Dele Alli, kini sedang dikaitkan dengan beberapa kelab elit Eropah, termasuk Real Madrid, yang dilaporkan terdesak untuk mendapatkan khidmat Kane pada tahun ini.

Bagaimanapun, Levy mendedahkan Spurs kini bukan dalam situasi terdesak untuk mendapatkan wang melalui pemain-pemain terbaiknya sebelum berpindah ke stadium baru bagi musim 2018/19.

"Saya yakin sepenuhnya. Kami telah memberi jaminan kepada semua pemain yang kami mahu kekalkan, bahawa mereka akan bermain untuk Tottenham pada musim depan," ujar Levy kepada Sky Sports News.

Dalam masa sama, pengerusi berusia 55 tahun itu akan mempertimbangkan sekiranya pengurus pasukan, Mauricio Pochettino, meminta untuk mendapatkan pemain baru pada bulan ini.

"Strategi Pochettino sentiasa menjadi keutamaan pasukan sekiranya ia dirasakan mampu meningkatkan skuad walaupun perpindahan pada Januari agak sukar," ujarnya.

Spurs akan melayan kunjungan Everton bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Wembley, esok.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen