Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mencadangkan kelab itu harus bersedia untuk menerima jika Christian Eriksen enggan menandatangani kontrak baru.

Bintang Denmark, Eriksen, kini berbaki 18 bulan dalam kontraknya dan masih belum bersetuju untuk terus kekal bersama pasukan walaupun telah menyaksikan rakan sepasukan seperti Harry Kane, Dele Alli dan Son Heung-min menandatangani perjanjian baru.

Pochettino menegaskan bulan lalu bahawa beliau tidak bimbang mengenai masa depan Eriksen selepas timbul laporan yang mencadangkan Real Madrid dalam usaha untuk mendapatkan pemain itu.

Bagaimanapun, Pochettino kekal optimis persetujuan di antara kelab dan pemain itu bakal tercapai, namun mahu Spurs bersedia untuk menerima sebarang keputusan.

"Bola sepak berubah setiap hari," katanya.

"Ia bukan hanya melibatkan keputusan anda tetapi keputusan pemain itu sendiri.

"Buat masa ini, mari menikmati saat ini. Pemain-pemain sepertinya memberikan tumpuan penuh dan mempamerkan persembahan terbaik buat pasukan. Masa depannya bakal diketahui pada penghujung musim atau beberapa hari lagi," ujarnya.

Pochettino bersetuju Spurs telah mencipta suasana positif sejak beberapa musim lalu dengan menggalakkan pemain untuk memberikan komitmen penuh bersama kelab.

"Kami telah berjaya menghasilkan satu platfom buat pemain yang mahu meneruskan cabaran bersama pasukan. Ia telah memberikan kegembiraan kepada penyokong.

"Empat setengah tahun lalu merupakan permulaan sukar buat semua. Setiap sidang media membincangkan mengenai bagaimana kami mahu mengurangkan jurang di antara kelompok enam teratas liga, bagaimana mahu mempamerkan aksi yang konsisten dan kompetitif."

Spurs kini hanya ketinggalan dua mata di belakang penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, selepas membenam Everton 6-2, Ahad lalu.

Hanya enam mata yang membezakan mereka dengan pendahulu liga, Liverpool, dengan skuad pimpinan Pochettino itu dilihat sebagai pencabar merebut gelaran liga tetapi pengendali kelahiran Argentina itu mengakui sukar untuk bersaing dalam liga yang dibarisi pasukan-pasukan berkualiti.

"Kami bersaing dalam liga yang sukar. Kami yakin dengan kualiti yang dimiliki tetapi bersaing dalam EPL adalah sukar.

"Spurs perlu bersedia menghadapi Bournemouth. Kami perlu mengekalkan permainan lebih konsiten untuk menjulang gelaran.

"Saya telah memberitahu dalam sidang media selepas tamat Piala Dunia bahawa musim ini adalah sukar buat kami.

"Kami berada dalam kedudukan yang baik, berada dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, separuh akhir Piala EFL dan menghuni tangga ketiga EPL.

"Pemain-pemain telah cuba memberikan yang terbaik dan kami mahu mengekalkan apa yang dipamerkan setakat ini," katanya lagi.