Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mempertahankan Dele Alli berikutan kritikan terhadap persembahannya.

Prestasi tonggak antarabangsa England itu menurun dengan ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kesukarannya juga dipengaruhi keputusan buruk Spurs.

Alli hanya menjaringkan satu gol Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Ogos lalu dan bergelut untuk memberi impak dalam kekalahan kepada Manchester United, Arsenal dan Leicester City, serta seri 1-1 dengan West Brom, tempoh hari.

Spurs tergelincir ke tangga ketujuh sehingga mengundang kritikan terhadap persembahan Alli, namun Pochettino menegaskan pengkritik usah terlupa bahawa pemain itu hanya berusia 21 tahun.

"Saya sangat gembira dengannya," kata Pochettino ketika ditanya mengenai pemain tengah itu. "Persoalan anda seperti 'Oh, Dele Alli tidak beraksi seperti beberapa tahun kebelakangan', tetapi beberapa tahun terakhirnya adalah kemunculan awalnya, dia masih sangat muda.

"Dia perlu mencari keseimbangannya, namun saya gembira dengannya. Adalah perkara biasa yang kami menaruh harapan kepadanya kerana dia pemain yang sangat berbakat,. Dia menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan membuat gerakan yang sukar dipercayai.

"Pemain yang berpengalaman bergelut selama 10 bulan untuk mengekalkan prestasi mereka. Dengan Dele, dia masih muda, biasalah prestasinya ada naik dan turun, saya gembira dengannya," katanya lagi.

Spurs akan bertandang ke Watford, esok.