Jose Mourinho mengesahkan Tottenham telah membuat rayuan terhadap kad merah yang dilayangkan kepada Son Heung-min ketika tewas kepada Chelsea.

Penyerang kelahiran Korea Selatan itu diarah keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap pertahanan The Blues, Antonio Rudiger, di Stadium Tottenham Hotspur, semalam.

Arahan keluar padang pada minit ke-62 dalam aksi 'derby' London itu telah dinilai menerusi video bantuan pengadil (VAR) dan ia menyaksikan Heung-min bertindak balas terhadap terjahan yang dilakukan Rudiger.

Mourinho menyatakan selepas perlawanan bahawa pengadil telah melakukan keputusan yang salah dan memberitahu Spurs telah membuat rayuan untuk menarik balik hukuman tersebut.

Menjelaskan mengapa Spurs melakukan rayuan, Mourinho berkata, "Saya berharap Heung-min tidak akan digantung selama lima perlawanan.

"Pertama adalah kesalahan yang dilakukan terhadap Rudiger, yang kedua pula untuk dibuang padang.

"Jadi saya berasakan penggantungan dua perlawanan sudah memadai."

Dalam ketiadaan Heung-min untuk tiga perlawanan seterusnya, Mourinho dijangka akan menurunkan Erik Lamela yang sudah mula kembali berlatih.

Pemain sayap Argentina itu sebelum ini diketepikan ekoran masalah kecederaan hamstring.

Spurs kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL), enam mata di belakang Chelsea dalam persaingan merebut tempat ke Liga Juara-Juara (UCL).